KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli menurun 3.6 peratus pada bulan Januari 2023 (29,451 tan metrik) berbanding pada bulan Disember 2022 (30,556 tan metrik).

Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan penurunan 39.3 peratus (Januari 2022: 48,546 tan metrik).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pengeluaran getah asli Malaysia pada Januari 2023 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (84.2%) berbanding sektor estet (15.8%).

Jumlah stok getah asli pada Januari 2023 menurun 3.4 peratus kepada 194,553 tan metrik berbanding 201,360 tan metrik pada Disember 2022. Kilang pemproses getah
menyumbang stok akhir sebanyak 90.7 peratus diikuti kilang pengguna getah (9.2%) dan estet getah (0.1%).

Eksport getah asli Malaysia berjumlah 40,867 tan metrik pada Januari 2023 menurun 16.3 peratus berbanding Disember 2022 (48,797 tan metrik). China terus kekal sebagai
destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 41.2 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Januari 2023 diikuti Turkiye (5.4%), Jerman (5.1%), Amerika Syarikat (3.6%) dan Brazil (2.7%).

“Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom. Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM0.9 billion pada Januari 2023, menurun 14.0 peratus berbanding Disember 2022 RM1.09 billion,” tambahnya.

Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan peningkatan iaitu 6.8 peratus (Januari 2023: 502.05 sen sekilogram; Disember 2022: 470.21 sen sekilogram) manakala Sekerap meningkat 0.6 peratus (Januari 2023: 463.84 sen sekilogram; Disember 2022: 461.20 sen sekilogram).

Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula meningkat antara 1.7 peratus hingga 6.7 peratus. World Bank Commodity Price Data melaporkan harga bagi getah jenis
TSR 20 (Technically Specified Rubber) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) masing-masing meningkat 4.9 peratus (daripada USD1.35/kg kepada USD1.41/kg) dan
meningkat 6.2 peratus (daripada USD1.54/kg kepada USD1.63/kg).

Berdasarkan laporan Malaysia Rubber Board Digest Januari 2023, aliran pasaran meningkat disokong oleh prestasi pasaran di China dan Amerika Syarikat yang lebih baik
daripada jangkaan. Dilaporkan juga aktiviti pasaran China melepasi jangkaan pada bulan Januari kesan pelonggaran anti-COVID serta cuti tahun baru.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast