Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pergerakan matawang asing yang dihadapi Malaysia dijangka tidak akan menjejaskan kedudukan fiskal negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun ringgit melemah berbanding dollar Amerika Syarikat (AS) namun pergerakan ringgit selaras dengan matawang rakan perdagangan utama lain.

Selain itu, ia turut dipengaruhi pendedahan rendah kepada hutang negara dalam matawang asing dan pengukuhan dolar AS yang setakat ini dijangka tidak menjejaskan hasil dan perbelanjaan kerajaan.

Anwar berkata, bagi mengukuhkan kedudukan fiskal negara, kerajaan akan melaksanakan pembaharuan dengan memberi tumpuan kepada tiga perkara.

“Pertama, memacu pertumbuhan ekonomi dengan pendekatan fiskal mengembang serta memudahcarakan pelaburan.

“Kedua, memperluaskan asas hasil melalui cukai baharu seperti untuk vape dan mengurangkan ketirisan hasil seperti dari rokok haram.

“Ketiga, memastikan nilai terbaik daripada perbelanjaan Kerajaan termasuk melalui perolehan Kerajaan secara tender serta pelaksanaan subsidi secara bersasar,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Melalui langkah tersebut kerajaan yakin untuk 2023 akan mengatasi unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.5% dan mencapai sasaran defisit fiskal 5.0% kepada KDNK.

Anwar berkata demikian dalam sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Amzad Mohamed (Kuala Terengganu – PN) yang meminta Perdana Menteri menyatakan kekuatan fiskal negara ekoran mata wang ringgit yang semakin melemah dan solusi kerajaan bagi mengimbangi situasi tersebut.

Untuk rekod, sejak 3 Januari 2022 sehingga 13 Mac 2023 nilai ringgit telah menurun sebanyak -7.7% berbanding dolar AS pada paras RM4.49.

Namun demikian, prestasi ringgit adalah selaras dengan matawang utama dan rakan perdagangan utama seperti renmimbi, rupiah dan euro.- MalaysiaGazette