Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bercakap pada sidang media semasa hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan terhadap pertuduhan tokoh-tokoh politik ternama di negara ini adalah persepsi masyarakat.

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man bertegas, persepsi berkenaan akan berubah sekiranya kerajaan dilihat adil dalam pendakwaan yang bukan sahaja melibatkan pemimpin pembangkang tetapi juga kes melibatkan pemimpin kerajaan.

“Saya lihat apa yang penting bukan sahaja kenyataan tetapi persepsi masyarakat bila pendakwaan kepada pembangkang sahaja tetapi pada masa sama isu yang melibatkan kerajaan ditimbulkan dalam Parlimen.

“Isu pembinaan kapal LCS sebagai contoh dan kes-kes yang berlaku di mahkamah, orang tanya bila nak mula. Bahkah kes ini jauh lebih awal daripada itu lagi.

“Saya bukan nak pertikai tetapi persepsi itu tidak boleh lihat melainkan kerajaan dilihat berlaku adil kepada semua,” kata Tuan Ibrahim dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, sekiranya persepsi tersebut dapat diubah, beliau yakin masyarakat dapat menilai perdana menteri dengan sentimen yang berbeza.

Beliau mengulas kenyataan Anwar dalam Dewan Rakyat hari ini yang menggesa mana-mana pihak agar memberikan bukti dirinya campur tangan terhadap pertuduhan tokoh-tokoh politik ternama di negara ini.

Perdana Menteri menegaskan, sekiranya tiada bukti maka itu adalah tuduhan dan fitnah yang dibuat pihak tertentu terhadap beliau.

“Jangan hukum orang tanpa bukti, kalau ada tindakan jangan hukum saya guna ayat al-Quran. Katakan saya zalim dan campur tangan, sebelah sana boleh jerit sesuka hati tapi kena ingat adakah kamu yakin ada bukti bahawa Anwar campur tangan untuk mendakwa sesiapa.

“Kalau tidak zalim jawabnya, guna mana agama dan fitnah orang sebut nama saya, saya tidak campur tangan, boleh tanya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan Peguam Negara malah arahan kepada mereka saya kata apa pun tindakan berdasarkan fakta dan bukti kuat, saya sokong,” kata Anwar.

Sementara itu, Tuan Ibrahim yang baru pulang daripada misi kemanusiaan Perikatan Nasional di Turkiye berkata, mangsa gempa bumi di negara itu memerlukan banyak lagi bantuan.

Rumah sementara daripada kontena antara yang diperlukan mangsa berikutan kediaman yang musnah sama sekali.

Tuan Ibrahim berkata, sebuah rumah kontena memerlukan kos RM30,000 dan menyasarkan kutipan RM3 juta. Bantuan itu  dihantar selepas Hari Raya Aidilfitri. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Adakah anda ada bukti saya campur tangan kes tokoh ternama? – PM

1 Komen

  1. Persepsi masyarakat tu dibina oleh penyamun Muhyidin dan PN melalui fitnah dan hasutan…

Comments are closed.