Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika Persidangan Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Yang ke-14 Tahun 2023 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 14 MAC 2023.

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mencadangkan Ahli Dewan Negeri Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dilantik sebagai Ketua Pembangkang baharu di Selangor.

Beliau berkata, ia susulan ADUN daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) itu kini sudah menjadi sebahagian kerajaan negeri selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.

“Adalah penting Dewan Negeri Selangor ini mewujudkan suasana cukup sihat, jadi saya mohon persetujuan speaker untuk saya mencadangkan Yang Berhormat Sijangkang sebagai Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor.

“Selepas ini kita mula sesi perbahasan (titah Sultan Selangor) dengan berkesan, sudah tentu peranan ketua pembangkang itu penting untuk membahaskan bagi pihak rakyat Selangor.

“Kedudukan ketua pembangkang Dewan Negeri Selangor kerana situasi politik semasa menunjukkan rakan-rakan saya daripada UMNO ini lebih selesa dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP,” katanya selepas tamat sesi pertanyaan mulut Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor ke-14 2023, di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Tambah Mohamed Azmin, cadangan itu dibuat kerana peranan Ketua Pembangkang sedia ada yang digalas Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail sudah kurang efektif untuk berbahas dalam sidang Dewan Negeri Selangor.

“Saya kira Sungai Air Tawar mungkin kurang efektif dalam melaksanakan tugasnya sebagai ketua pembangkang. Semalam pun saya ada berbincang dengan Sungai Air Tawar, dia pun rasa sukar dia nak berbahas hari ini bagi pihak pembangkang.

“Beliau bersedia untuk menyerahkan tugas dan tanggungjawab ketua pembangkang ini kepada pihak kami (Perikatan Nasional-PN),” katanya.

Bagaimanapun cadangan Mohamed Azmin itu dibantah oleh Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

“Adakah perkara ini perlu dibahaskan, kalau ya, saya nak membangkang cadangan tersebut,” katanya.

Sebaliknya Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim menegaskan beliau tidak boleh membuat keputusan segera susulan tiada sebarang pemakluman secara rasmi dibuat berkenaan cadangan itu kepadanya setakat ini.

“Baik, nanti saya buat keputusan, Bukit Antarabangsa (Mohamed Azmin) saya sudah dengar cadangan daripada Bukit Antarabangsa.

“Setakat ini saya akan buat keputusan kemudian kerana saya belum dapat makluman daripada Sungai Air Tawar. Ini cuma andaian dan percakapan daripada Yang Berhormat Bukit Antarabangsa tentang ketidakminatan dan sebagainya.

“Surat letak jawatan (ketua pembangkang) belum lagi dimaklumkan, saya akan uruskan kemudian, secepat mungkin,” katanya.

Speaker juga memberi jaminan akan memberi ruang dan peluang berbahas titah Sultan Selangor dalam persidangan Dewan Negeri Selangor kali ini.

“Perbahasan nanti saya akan bagi, tak ada masalah untuk soal perbahasan untuk pihak Sijangkang itu tak ada masalah, kita bagi masa dan ruang yang secukupnya.

“Insya-Allah (beri ruang lebih kepada Sijangkang),” katanya lagi. – MalaysiaGazette