Sekumpulan Pemuda UMNO masuk ke dewan pemilihan untuk membuat bantahan kerana dikatakan berlaku kecurian kertas undi.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Sam Adnan memohon maaf atas kekhilafannya yang telah menularkan satu klip video berkaitan isu pengiraan undi bagi pemilihan jawatankuasa sayap itu dua hari lalu.

Beliau membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa dan UMNO Pusat khasnya atas video itu yang ditular menerusi akaun TikTok @coachsamadnan.

“Merujuk kepada video tular dari akaun TikTok saya @coachsamadnan berkaitan isu pengiraan undi bagi pemilihan Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, saya dengan rasa penuh kesal dan insaf ingin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua pihak khususnya kepada Pemuda UMNO Titiwangsa dan UMNO Malaysia di atas kekhilafan saya.

“Pada peringkat awalnya, niat saya hanyalah untuk membuka kebenaran kerana selaku Ketua Penerangan Pemuda UMNO Titiwangsa, saya merasakan teraniaya oleh perbuatan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Pengerusi Penyelaras Jawatankuasa Pemilihan UMNO dan Setiausaha UMNO Bahagian yang telah bertindak mensabotaj pengiraan undi tersebut.

“Tanpa berfikir panjang saya telah membuat posting tersebut di media sosial dan video tersebut menjadi tular di luar jangka dan mengakibatkan persepsi buruk terhadap UMNO secara amnya,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Ahad lalu, berlaku kekecohan dan bantahan dalam pemilihan Jawatankuasa Pemuda UMNO Titiwangsa sehingga proses pengundian bahagian itu terpaksa digantung.

Tular sekurang-kurangnya lima klip video yang memaparkan dua individu iaitu Pengerusi Pemilihan Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) Titiwangsa, Zaharah Adnan dan Timbalan Pengerusi JPU UMNO Bahagian itu, Datuk Shamsul Bahari yang ‘kantoi’ mencuri kertas undi.

Menurut Sam, beliau terpanggil untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua pihak dan sekali lagi mengakui kesilapannya.

“Saya juga bersedia menerima sebarang bentuk tindakan oleh Lembaga Displin UMNO di atas kekhilafan saya ini. Sekali lagi saya memohon maaf kepada semua,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. DASAR UMNO asal barang jadi DUIT, kertas UNDI pun dirembat.
    nak tanya andainya kertas itu DUIT apa yang akan terjadi?
    tereka pantun nitizen…
    mangkok tingkat di Bandar Serendah
    kemek bertabur kerana eksiden
    ini peringkat ahli UMNO rendah
    apa jadi jika President.
    dipelbagai tempat banyak lagi pantunnya

Comments are closed.