Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Program Jom Ziarah Gereja yang dikendalikan syarikat Impact Integrated Berhad dalam Program Artikel 11 tidak melibatkan belia Islam dan ia bukan usaha untuk menjadikan semua agama setaraf.

Perkara tersebut ditegaskan Menteri Belia dan Sukan (KBS) Hannah Yeoh dalam Dewan Rakyat hari ini.

“Projek Artikel 11 Jom Ziarah yang diusahakan oleh Impact di bawah KBS bukan untuk menyamaratakan kedudukan mana-mana agama, bukan projek yang berniat beri gambaran semua agama adalah sama sebagaimana dakwaan dan anggapan setengah-setengah pihak.

“Jom Ziarah adalah usaha untuk mengenali perbezaan agama yang ada dalam kalangan kita.

“Ia usaha kita melihat untuk membezakan dan supaya dengan cara itu masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa boleh hidup rukun damai, lebih harmoni dan lebih tolerasi,” kata Hannah.

Hannah berkata, sebagai bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya beliau faham Perlembahaan Malaysia mengenai kedudukan agama Islam.

Hannah turut menegaskan,  beliau faham penyebaran agama Kristian kepada penganut Islam adalah salah dari sudut perundangan.

“Sebagai mantan Speaker DUN Selangor, pegang ADUNG Subang Jaya selama 10 tahun, saya tahu undang-undang yang melarang evangelism.

“Menfitnah saya menggunakan agensi di bawah KBS adalah tuduhan melampau dan mahu menjadikan saya sebagai punching beg untuk menutup salah laku pemimpin mereka. Saya bukan cakap pasal Pas, saya cakap pasal Bersatu yang tuduh saya di luar sana.

“Saya ahli DAP, saya tahu dan memahami Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf Islam agama bagi Persekutuan,” kata beliau ketika sesi pengulungan Belanjawan 2023 Kementerian Belia dan Sukan Peringkat Jawatankuasa.

Beliau menjelaskan dua program ziarah rumah ibadat iaitu masjid dan Gurdwara yang dianjurkan syarikat itu hanya melibatkan belia Cina dan India.

Hannah turut menjelaskan, Impact Integrated menerima peruntukan daripada Kementerian Kewangan menerusi KBS.

Syarikat tersebut juga mempunyai dana menerusi aktiviti penjanaan mereka sendiri.

Beliau menjawab tuduhan setengah-setengah pihak bahawa program Jom Gereja melibatkan belia Islam dan sebagai usaha untuk menjadikan semua agama sama dan setaraf.

Penjelasan Hannah yang mengaitkan penglibatan ahli Bersatu  menimbulkan kekecohan dalam Parlimen namun berjaya ditenteramkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat  Alice Lau Kiong Yieng.-MalaysiaGazette