KUALA LUMPUR – Menjelang Hari Raya Aidilfitri, Syarikat Naelofar mempertaruhkan koleksi yang bertemakan Warisan pada tahun ini.
Pengasas syarikat pengeluar tudung terkenal itu, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa berkata, tema tersebut dipilih demi mengangkat warisan kebudayaan Melayu yang segar dan tidak lapuk zaman.
“Kekeluargaan, warisan dan nilai-bilai Melayu adalah penting untuk kita semua. Jadi Naelofar ingin membawa kembali tradisi-tradisi lama kita menerusi kempen raya tahun ini.
“Dari tahun ke tahun kita semakin moden dari baju, cara beraya. Jadi kita mahu kembalikan tradisi yang memang dalam diri kita sebenarnya,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Pelancaran Koleksi Tudung Raya di sini hari ini.
Jelas Neelofa, berbeza daripada kempen Hari Raya Aidilfitri sebelum ini, Warisan dipromosikan dengan cetusan revolusi teknologi iaitu tingkap interaktif (window display).
Tidak menafikan tingkap interaktif dilaksanakan dengan belanja yang besar, Neelofa berkata, pihaknya turut menggunakan pasukan pakar teknologi antarabangsa untuk menjayakannya.
Ujar selebriti itu lagi, sebanyak empat daripada lapan butik Naelofar seluruh negara akan dipaparkan dengan tingkap interaktif yang mana pengunjung akan dapat merasai pengalaman rumah kampung dan banyak lagi melalui paparan dan susur atur dalam skrin yang ditayangkan.
“Kalau jenama lain selalunya all out dalam fashion show menjelang Aidilfitri tapi Naelofar mahu mencetuskan kelainan iaitu kami bawakan window display ini,” katanya lagi.
Selain Neelofa sendiri, dua lagi wajah teraju Kempen Warisan 2023 adalah Hawa Rizwana dan Ayana Jihye Moon.-MalaysiaGazette