Penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman dibawa keluar anggota polis selepas dituduh atas kesalahan menanam 17 pokok ganja di kediamannya di Kota Damansara ketika di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 18 MEI 2022.

PETALING JAYA – Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman akan memfailkan representasi keempat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat, bagi mengkaji tiga pertuduhan kes dadah yang dihadapinya.

Peguam Ariff Azami Hussein mewakili Muhammad Yasin memberitahu Hakim Mahkamah Sesyen Nik Nasimah Nik Mohammad bahawa pihaknya akan memfailkan representasi baharu itu susulan representasi ketiga mereka ditolak pada 13 Mac lepas.

“Pada 1 Mac lepas, kami ada memfailkan representasi ketiga dan representasi berkenaan ditolak oleh AGC. Pihak kami telah mendapat arahan daripada anak guam (Muhammad Yasin) untuk memasukkan representasi keempat. Kami telah memaklumkan kepada pendakwaan mengenai perkara ini semalam dan pendakwaan tidak membantah permohonan ini.

“Pasukan pembelaan tiada niat untuk melengah-lengahkan prosiding mahkamah dengan memfailkan representasi, sebaliknya yakin pertuduhan terhadap Muhammad Yasin dapat diselesaikan tanpa melalui perbicaraan. Kami juga mohon supaya perbicaraan hari ini dan esok dilapangkan sementara representasi keempat dipertimbangkan,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah mengesahkan pihak pendakwaan tidak membantah terhadap permohonan representasi keempat itu.

Mahkamah menetapkan 31 Mei serta 1 dan 2 Jun ini untuk perbicaraan kes berkenaan.

Penyanyi lagu Mimpi Laila itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada 11.05 malam, 24 Mac tahun lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, pada 5.30 petang, tarikh yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 6 Akta ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan dan Seksyen 6B (1) (a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B (3) yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Muhammad Yasin ketika ditemui pemberita berkata beliau menghidap penyakit tiroid ketika berada di penjara sejak November lepas namun penyanyi itu bersyukur kerana pihak penjara menyediakan ubat bagi merawat penyakitnya.

“Saya tidak mahu orang membuat andaian pihak penjara tidak memberi saya makan. Makanan melimpah-ruah di penjara,” katanya dan menambah berat badannya turun daripada 66 ke 48 kilogram.- BERNAMA