Ahmad Faizal Azumu

IPOH – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak membuat laporan polis terhadap Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu susulan kenyataannya yang didakwa berunsur fitnah ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Bersatu 2023, Ahad lepas.

Laporan polis itu dibuat oleh Ketua AMK Perak Zaim Sidqi Zulkifly di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini selepas rakaman video ucapan itu tular.

“Apakah beliau (Ahmad Faizal) masih tidak boleh menerima kekalahan di Tambun hingga terpaksa menabur fitnah, justeru saya hadir hari ini untuk membuat satu laporan polis terhadap Ahmad Faizal atas kenyataan beliau,” katanya ketika ditemui di luar IPD Ipoh hari ini. – BERNAMA