Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu beramah mesra dengan anak mangsa keganasan rumah tangga hingga koma, J Eshan Nufail di Pejabat KPWKM, Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 31 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Sebanyak empat jenis geran diberikan kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) yang memberikan perkhidmatan penjagaan, perlindungan dan pemulihan kepada kumpulan sasar termasuk kanak-kanak

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Aiman Athirah Sabu berkata, bantuan kewangan kerajaan itu bagi menampung sebahagian kos yang ditanggung oleh PSK.

Geran yang diberikan termasuk Geran Rangsum (makan minum), Geran Pentadbiran, Geran Perkapita dan Geran Pembaikan.

“Bagi menggalakkan pewujudan masyarakat penyayang dan merealisasikan ”Kebajikan Tanggungjawab Bersama” serta menanam sifat rahmah dalam kalangan masyarakat, Kementerian juga menyediakan platform secara dalam talian yang dikenali sebagai Sistem MyCorporate Care (MyCC).

“Sistem ini merupakan alternatif sektor kerajaan, sektor korporat, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan individu untuk menyalurkan sumbangan kepada PSK yang berdaftar berdasarkan keperluan yang dikehendaki,” katanya di Dewan Rakyat.

Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperkenalkan konsep Pemeliharaan Berasaskan Keluarga (PBK) dalam pengurusan kes kanak-kanak tersebut.

Penempatan kanak-kanak dalam institusi kekeluargaan akan
memberi peluang kepada kanak-kanak mendapat penjagaan dan
pemeliharaan dalam suasana kekeluargaan, mendapat kasih sayang dan kemesraan keluarga.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Jerlun (PN) Dr. Abdul Ghani Ahmad yang bertanya adakah Kerajaan bercadang mewujudkan pusat jagaan khas anak luar nikah dan sejauh mana usaha yang diambil oleh badan bukan kerajaan (NGO) diberi pengiktirafan dan bantuan oleh Kerajaan.

Sementara itu Aiman Athirah berkata, JKM mempunyai 18 buah institusi kanak-kanak dan daripada jumlah itu sebanyak 16 memberi perkhidmatan pemeliharaan dan perlindungan kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan di bawah 18 tahun termasuk bayi dan kanak-kanak yang tak sah taraf.

Beliau berkata, kementerian juga menyediakan perkhidmatan Talian Kasih 15999 yang membolehkan orang awam
membuat sebarang aduan termasuk kes pembuangan anak luar
nikah.

Remaja dan wanita yang mengandung luar nikah juga boleh mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling melalui Talian Kasih 15999 bagi mengelakkan mereka daripada terjebak dalam aktiviti pembuangan bayi.

Talian tersebut beroperasi 24 jam sehari sepanjang tahun.-MalaysiaGazette