Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong . Foto HAZROL ZAINAL, 08 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mendakwa menerima ugutan daripada individu bernama ‘Deepak’ berkaitan isu telur import dari India.

Presiden MCA yang mendedahkan perkara itu di Dewan Rakyat hari ini berkata, individu berkenaan menelefonnya semalam dan mendakwa telah berbincang dengan ‘Pejabat Perdana Menteri’ (PMO).

Lelaki tersebut mendesak beliau membetulkan kenyataan yang dibuat di Dewan Rakyat mengenai isu import telur dari India.

“Semalam pukul 9.51 pagi, saya menerima panggilan daripada seorang insan bernama Deepak yang mendakwa dirinya mewakili J&E Advance Tech Sdn. Bhd. yang mengatakan bahawa beliau telah berbincang dengan PMO untuk sign satu statement dan kita settle di luar mahkamah.

“Saya kata apa ini? Apa yang berlaku ialah, saya kata, saya tak sebut nama syarikat kamu, saya tak sebut nama kamu.

“Dia kata you kena buat satu statement untuk membetulkan apa yang dibuat di Parlimen. Saya kata saya tak sebut nama you, nama syarikat. Saya cuma jadi jurucakap rakyat. Ini masalah bekalan telur,” kata Ka Siong.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan Belanjawan 2023 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Ka Siong berkata, tindakan lelaki berkenaan jelas memperlekehkan institusi Parlimen dan menyalahguna nama Pejabat Perdana Menteri.

“Yang Dipertua, saya rasa dalam kes ini kita memandang berat. Apa nama PMO ini? Saya pun tidak faham apa yang berlaku.

“Pada 22 Januari hari pertama Tahun Bari Cina, Perdana Menteri datang ke rumah terbuka. Saya bicang secara khusus telur yang diimport daripada India. Saya tidak setuju. PM dengar. Saya kata kita kena cari penyelesaian.

“Saya rasa ini bukan arahan daripada PM. Ini orang pakai nama PMO. Ini satu penyakit. Dalam kes ini tidak sepatutnya berlaku,” kata beliau.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dalam satu surat kepada Ka Siong semalam menyatakan, sebarang ucapan yang dibuat oleh ahli Parlimen ketika sidang Dewan Rakyat adalah terlindung di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Ka Siong menerima dua surat saman daripada pengimport telur susulan kenyataan mengenai isu kekurangan telur yang dibangkitkannya ketika mencelah pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat.

Terkilan dengan perkara tersebut, Ka Siong kemudiannya mengemukakan surat penjelasan kepada Johari bagi memohon respons.

Menurutnya, tindakan tersebut adalah tidak wajar kerana setiap wakil rakyat mempunyai imuniti ketika berbahas di Parlimen.

Jelas beliau, dewan tersebut hakikatnya merupakan medan penting bagi mana-mana ahli Parlimen untuk membawa suara orang ramai.- MalaysiaGazette