Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menunjukkan buku 'Mari Kenali Sawit' pada sidang media ketika hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mempersoalkan kos pencetakan buku Mari Kenali Sawit sebanyak RM13.30 yang didakwa tinggi sedangkan terdapat syarikat pencetakan yang menawarkan harga yang lebih rendah untuk jenis buku sama.

Bekas menteri di porfolio sama berkata, berkata, kos buku itu masih tinggi walaupun termasuk penghantaran ke pejabat pendidikan daerah di semua negeri.

Justeru, beliau menuntut jawapan daripada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan bekas menterinya berhubung kos pencetakan itu hanya untuk penerbitan di sekolah rendah.

“Walaupun dinyatakan di sini, kos itu termasuk penghantaran ke pejabat pendidikan daerah di semua negeri tetapi kalau setakat pejabat daerah sahaja, kenapa sehingga RM13.30 sen?

“Untuk sekolah menengah pula kosnya adalah RM19.30 sen. Saya pernah menyemak dengan sebuah syarikat penerbitan dan percetakan Kuala Lumpur, buku seperti itu kurang RM3,” katanya semasa sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Teresa menambah, buku Mari Kenali Sawit merupakan satu projek di bawah Majlis Minyak Sawit Malaysia di bawah bekas menteri, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Kata beliau, sebanyak 210,000 diedarkan di sekolah rendah dan 62,475 buah buku untuk sekolah menengah.

Tambahnya, buku itu diedarkan di 144 pejabat pendidikan daerah di seleuruh negara. Setiap sekolah rendah menerima 27 buah buku dan 25 buku bagi setiap sekolah menengah.

“Saya setuju untuk menyebarkan maklumat mengenai maklumat sawit kepada murid sekolah tak kan la dengan harga macam ini. Sebab itu dalam Dewan Rakyat tadi saya minta menteri perlu siasat dan umum pada semua.

“Mungkin juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) perlu campur tangan untuk tahu adakah ini boleh diterangkan, kementerian perlu juga beritahu kepada dewan sama ada semua buku ini sudah diedarkan keseluruhannya,” katanya.
Berdasarkan jawapan yang diterima Teresa pada sesi Parlimen Julai tahun lalu, seluruh projek ini, melibatkan kos hampir RM4 juta ringgit daripada Majlis Minyak Sawit Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast