KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dipandu terbabit dalam kemalangan di Bandar Tasik Selatan, Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) pagi ini.
Mangsa berusia 46 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit dalam kereta jenis Nissan Almera yang dipandunya.
Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam melalui talian MERS 999 berhubung kejadian pukul 7.30 pagi.
Sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besi digegaskan dan tiba di lokasi lapan minit kemudian.
“Kemalangan jalanraya melibatkan dua buah kereta jenis Ford Everest dan Nissan Almera.
“Terdapat seorang mangsa lelaki Melayu berusia 46 tahun pemandu Nissan Almera tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh anggota,” katanya dalam kenyataan tanpa menyatakan nama mangsa yang terkorban.
Tambahnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh paramedik ambulans dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dilokasi.
Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette