SHAH ALAM – Pas yakin gelombang pengundi Melayu dan anak muda dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu akan kekal bersama parti itu dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PN) khususnya di Selangor.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, meskipun rakan sekutunya Bersatu berdepan pertuduhan di mahkamah namun ia tidak melunturkan kepercayaan rakyat kepada gabungan itu.
“Kadang-kala kita lihat perkara ini lebih kepada isu politik, apa pun pertuduhan, kita tidak meletakkan hukum dia bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah.
“Ini tidak memberi kesan dan mematahkan semangat penyokong atau pengundi PN khususnya di Selangor.
“Berdasarkan maklumat-maklumat yang saya dapat sehingga kini, (pertuduhan) tidak memberikan apa-apa kesan,” katanya kepada MalaysiaGazette di Dewan Negeri Selangor hari ini.
Jumaat lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan, membabitkan empat kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.
Bagaimanapun, Muhyiddin mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.
Manakala pada Isnin lalu, Muhyiddin dihadapkan dengan pertuduhan ketujuh di Mahkamah Sesyen di sini berhubung kes menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5 juta, Januari tahun lalu.
Muhyiddin, 76, yang juga bekas Perdana Menteri, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Dalam pada itu, pertuduhan jenayah yang dikenakan terhadap beberapa pemimpin Bersatu itu dilihat memberi kekuatan kepada sekutu dan penyokongnya dalam mendepani PRN di enam negeri, Jun ini.
“Kalau kita lihat dalam media sosial pun, saya tengok seolah-olah (tuduhan) memberi kekuatan kepada PN terutamanya Bersatu dari sudut parti dan pendokong mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Lebai.. Gelombang melayu memadai ke utk membentuk kerajaan dan mentadbir. Perlu terima hakikat utk berkongsi hidup dengan rakan2 bangsa lain utk bersama2 menyumbang dan membangun negara. Jgn sempitkan pemikiran tu. Lemah!!!!