Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid bercakap pada sidang media selepas Program Love Local di Stesen PETRONAS sempena Kempen Beli Barangan Malaysia di Stesen PETRONAS Kota Damansara 1, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 20 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pembangkang mengemukakan usul meminta supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim dirujuk ke Jawantankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa cuba mengelirukan Dewan.

Usul itu dikemukakan Ahli Parlimen Hulu Terangganu, Datuk Rosol Wahid kepada pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat semalam berkait kenyataan Perdana Menteri berhubung ketirisan diesel bersubsidi dalam pembentangan Belanjawan 2023, baru-baru ini.

“Saya ingin merujuk Ahli Parlimen Tambun kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen seperti yang diperuntuk dalam Perkara 36(12) Peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Rakyat.

“Perkara ini sudah disampaikan ke pejabat Speaker dalam bentuk surat semalam. Ahli Parlimen Tambun dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2023, pada 24 Februari lalu mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dewan dan boleh disifatkan sebagai menghina majlis,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Rosol memberitahu, Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2023 telah mengatakan wujudnya ketirisan subsidi diesel sebanyak RM10 bilion setahun akibat diselewengkan.

Beliau berkata, kenyataan itu mengelirukan Dewan kerana mengikut data Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi tempoh 2018 sehingga 2022, nilai rampasan subsidi hanya RM18.7 juta.

“Kedua jawapan Menteri KPDN mengatakan bahawa sekarang baharu nak tubuhkan task force untuk menilai RM10 bilion tersebut.

“Ketiga jawapan menteri pada keesokkan beliau baharu nak kumpul data, ini menunjukkan ada berlaku pencanggahan data yang didedahkan oleh Tambun dan apa yang diterangkan oleh menteri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast