Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhammad Nabil Halimi menyampaikan ucapan pergulungan pada sempena Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto MOHD ADZLAN, 14 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nabil Halimi menggesa UMNO untuk menyatakan pendirian dengan jelas berhubung pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) lebih awal bagi mendapatkan mandat yang baharu.

Ia susulan laporan yang mengatakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berpendirian lebih baik PRU-16 diadakan lebih awal, iaitu sebelum akhir tempoh penggal Parlimen yang sepatutnya berakhir hujung tahun depan.

“Kalau mahu bersama kerajaan, bersama dan pikul tanggungjawab sehingga selesai mandat. Kalau mahu bersama Perikatan Nasional, buatlah keputusan dan serahkan semula jawatan dalam kerajaan.

“Jangan sampai UMNO dilihat satu kaki dalam kerajaan, satu kaki dalam pembangkang di negeri berpelukan dengan PN, tetapi di Putrajaya masih mahu menikmati jawatan dan kedudukan dalam Kerajaan Madani.

“Rakyat tidak sepatutnya dipeningkan dengan percaturan politik sebegini,” kata Nabil dalam satu kenyataan hari ini.

Tamnbah beliau, kerajaan sedia ada yang dipimpin Pakatan Harapan bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus menyempurnakan mandat penggal ini selagi diberi kepercayaan oleh majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Menurut Nabil, kerajaan akan menggunakan masa yang ada untuk meneruskan reformasi, memperkukuh ekonomi dan menyelesaikan masalah rakyat.

“Mandat rakyat bukan alat tawar-menawar politik.

“Biarlah rakyat membuat penilaian apabila tiba masanya pilihan raya,” ujar beliau lagi. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here