Bendahari Keadilan Gombak, Datuk Zainol Abidin.

KUALA LUMPUR – Pas dilihat hanya lantang apabila membabitkan isu perjudian, namun membisu apabila menyentuh soal rasuah dan penyelewengan wang negara.

Bendahari Keadilan Gombak, Datuk Zainol Abidin Mohamed berkata, pendirian Pas mengenai pengharaman judi sepatutnya disertai ketegasan sama dalam menangani isu rasuah serta penyelewengan yang melibatkan kepentingan rakyat.

“Pas hari ini nampak hanya judi yang haram tetapi membisu dan menikus bila bab rasuah dan penyelewengan duit negara,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa beliau sudah melaksanakan tanggungjawabnya dengan menetapkan pendirian mengharamkan kegiatan judi selari dengan perintah Tuhan.

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

Sanusi sebelum ini menegaskan, sesiapa yang terbabit dalam usaha menghalang tindakan kerajaan negeri mengharamkan perjudian perlu menjawab perkara itu dengan Tuhan.

Mengulas lanjut, Zainol mempersoalkan sama ada prinsip yang sama turut diterapkan Pas apabila berdepan isu rasuah dan penyelewengan wang negara.

Menurut beliau, soal amanah dan tanggungjawab tidak seharusnya hanya diketengahkan apabila membabitkan kegiatan perjudian.

“Kalau mahu bercakap soal haram dan perintah Tuhan, jangan pilih-pilih. Rasuah dan penyelewengan duit negara juga perlu dilihat sebagai perkara serius,” tegasnya.

Jelasnya, rakyat berhak melihat pendirian yang konsisten daripada pemimpin politik dalam soal integriti dan amanah tanpa mengira siapa yang terlibat.

Tambahnya, isu rasuah dan penyelewengan wang negara tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan kepentingan serta hak rakyat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here