KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyangkal laporan sebuah media kononnya parti itu dalam usaha membentuk gabungan dengan Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agungnya, Rosdi Idris berkata, setakat ini tidak ada keputusan daripada mana-mana pemimpin kanan atau Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra menyatakan cadangan itu.
“Kenyataan yang dilaporkan Utusan Malaysia hari ini adalah berdasarkan sumber parti dan amat tidak tepat kerana ia adalah sumber yang tidak jelas dan tidak mencerminkan keputusan ADT.
“Putra telah membuat kenyataan menerusi sidang medianya selepas mesyuarat ADT pada 7 Mac lalu,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas laporan media itu, bahawa Gerakan Tanah Air (GTA) bakal mengambil pendirian membentuk pakatan bersama PN sebagai satu usaha membentuk gabungan kekuatan parti Melayu terbesar di negara ini.
Menurut sumber parti itu kepada Utusan Malaysia, hala tuju GTA akan diperincikan selepas Mesyuarat Agung Tahunan Putra pada April ini dengan memutuskan untuk merombak Putra dan ditukarkan nama kepada GTA.
Jelas Rosdi, penyertaan atau pakatan bersama itu tidak berbangkit pada masa ini.
Malah, tegasnya, kedua isu termasuk penukaran nama Putra kepada GTA tidak pernah disentuh dalam Mesyuarat ADT Putra setakat ini.
“Ini juga selaras dengan kenyataan Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali pada 3 Mac lalu bahawa segala keputusan hanya akan diketahui selepas persidangan agung parti itu pada 7 Mei ini,” katanya. – MalaysiaGazette
Gabung pun kalau ade tak menambah .. tak de tak mengurang pun. PRU15 dh ditolak. Baik tak de dr ade