Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub (kanan) diiringi Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin (kiri) beramah mesra dengan pengunjung yang membeli baju raya Jualan Rahmah selepas Pelancaran Kempen Klasiknya Raya Mydin di Mydin Subang Jaya, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 15 MAC 2023

SUBANG – Tidak wajar kaitkan himpunan yang diadakan sempena Hari Wanita dengan perarakan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT).

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, semua pihak perlu mengetahui tujuan sebenar perhimpunan berkenaan sebelum membuat tuduhan.

“Jangan tuduh-tuduh, jangan mudah lemparkan dakwaan dan tuduhan.

“Perlu berhati-hati dengan fakta dan saya nasihatkan buat kajian dahulu,” katanya kepada pemberita.

Dalam masa yang sama, Salahuddin mengecam tindakan Ahli Parlimen Kuantan Wan Razali Wan Nor di Dewan Rakyat semalam yang menyifatkan perhimpunan Women’s March yang diadakan sempena Hari Wanita di ibu negara baru-baru ini sebagai himpunan LGBT.

Tegasnya, sebagai Ahli Parlimen, Wan Razali sepatutnya menyemak fakta sebelum mengeluarkan kenyataan kontroversi.

“Kepada semua Ahli Parlimen, pastikan fakta yang anda cakap tepat. Itu etika kita. Kalau kamu tak pasti, kamu jangan cakap. Nanti kamu akan mendapat malu dalam Parlimen.

”Jadi nasihat saya kepada Ahli Parlimen, tak kira kerajaan atau pembangkang, semak dulu fakta anda, pastikan tepat.

“Tapi semalam itu jelas sebab bila Speaker tanya dia, dia pun jawab tidak pasti. Kalau begitu, jangan cakaplah,” jelasnya.

Katanya lagi, wakil rakyat perlu bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dikeluarkan, apatah lagi yang mengundang kontroversi.

“Ini bukan kedai kopi tepi jalan, ini Parlimen. Kamu harus bertanggungjawab dengan apa yang kamu cakap,” ujarnya lagi.

Sebagai rekod, kenyataan Wan Razali dalam Dewan Rakyat semalam mengundang kekecohan beliau sendiri mengakui tidak pasti dengan kenyataan yang dikeluarkannya.

Selepas menerima kecaman dalam kalangan ahli Parlimen lain,  Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul mendesak beliau menarik balik kenyataan berkenaan.

Terkini, polis sedang menyiasat perhimpunan dan perarakan Women’s March yang berlangsung Ahad lepas.-MalaysiaGazette