KUALA LUMPUR — DD Cat, jenama pakaian kucing memperkenalkan koleksi baju raya kepada haiwan peliharaan itu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Koleksi untuk si bulus itu tampil dengan enam warna seperti Maroon; Mustard; Purple; Emerald Green; Baby Blue dan Shocking Pink.

Gelagat kucing yang memperagakan baju raya kucing sempena perasmian koleksi pakaian kucing ‘’DD Cat’’ Kolaborasi bersama Anna Jobling di Lalaport, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 16 MAC 2023.

Keenam-enam nuansa itu mewarnai empat jenis fesyen iaitu Baju Melayu Simba, Kurta Muezza, Baju Kurung Bella dan Baju Kebaya Luna yang dikeluarkan sebanyak 20,000 unit.

Pelancaran Koleksi Baju Raya DD Cat yang berkolaborasi dengan selebriti muda, Anna Jobling itu diadakan di Coo&RIKU Lalaport Pet Shop di sini hari ini.

Menurut Anna, sebagai seorang pencinta haiwan, sambutan hari raya boleh jadi lebih menarik jika dapat mengenakan pakaian sedondon, lebih-lebih lagi dengan kucing kesayangan.

Anna Jobling hadir ke Majlis Perasmian Koleksi Baju Raya Kucing ‘’DD Cat’’ Kolaborasi bersama Anna Jobling di Lalaport, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 16 MAC 2023.

“Bagi saya sendiri, saya menganggap kucing-kucing saya bukan sekadar haiwan peliharaan semata-mata tetapi mereka adalah sebahagian daripada keluarga saya.

“Justeru, menyambut Syawal bukan sahaja saya yang mahu kelihatan cantik tetapi saya mahu kucing-kucing saya juga kelihatan cantik dan bergaya pagi raya,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan koleksi Baju Raya Kucing DD Cat hari ini.

Untuk semua koleksi ini, DD Cat menggunakan fabrik berkualiti tinggi termasuk songket bunga penuh dan seni halus batik selain menjamin keselesaan kucing kesayangan anda.

Harga yang ditawarkan bermula dengan harga RM39 untuk Kurta Muezza dan selebihnya berharga RM49.

Koleksi sulung DD Cat boleh didapati melalui pembelian dalam talian bermula hari ini, 16 Mac dan sebarang maklumat lanjut mengenai produk DD CAT boleh diperoleh di @ddcathq di laman Instagram, Tiktok, Facebook dan Shopee. -MalaysiaGazette