KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang mendakwa fobia terhadap mana-mana kaum atau agama tidak wujud di negara ini.
Menurut beliau, prasangka itu hanya dimomokkan oleh golongan ekstremis sedangkan majoriti rakyat pelbagai kaum dan agama mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan dan agama-agama lain bebas untuk diamalkan.
“Perkara itu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Kit Siang mempersoalkan mengapa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berdiam diri pada sambutan Hari Antarabangsa Untuk Memerangi Islamofobia 2023 semalam.
Beliau berkata, sikap Abdul Hadi itu berbeza dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tegas mengecam Islamofobia serta semua perbuatan berunsur kebencian dan keganasan terhadap mana-mana individu atas dasar agama atau kepercayaan.
Kit Siang menambah, Anwar juga menyatakan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama secara konstruktif dan kolektif dengan masyarakat antarabangsa untuk memerangi Islamofobia.
Selain itu, katanya, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berikrar Malaysia tidak akan membiarkan Islamofobia berterusan kerana ia akan memberi kesan terhadap negara dari segi pelanggaran hak asasi manusia.
“Tetapi Abdul Hadi senyap sahaja pada Hari Antarabangsa Untuk Memerangi Islamofobia 2023,” katanya.
Sehubungan itu, Kit Siang menyeru agar rakyat menentang mana-mana oportunis politik yang berbohong tentang Islamofobia demi kepentingan politik mereka. – MalaysiaGazette