Wee Ka Siong dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Wee Ka Siong dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Wee Ka Siong menegaskan individu yang didakwa ‘Deepak’ adalah pemanggil yang menghubunginya seperti mana yang didedahkan semalam.

Ahli Parlimen Ayer Hitam (BN) itu berkata, dakwaan itu berdasarkan kepada profil dan paparan nombor telefon bimbit 019-9999989.

“Saya nak tunjukkan, ini gambarnya (screenshot) atas nama singkatan ‘DJT’, dan inilah gambar profil.

“Tetapi selepas saya bersuara semalam, profil ditukar dengan seorang pengasas, kalau tak silap, pengasas Tesla.

“Saya amik gambar tangkap layar setiap hari, saya lihat perubahan, jadi nombor yang saya terima ini adalah satu nombor 019-99999989 lelaki itu dakwa, dia ‘Deepak’.

“Jadi kalau gunakan aplikasi TrueCaller hasil carian dimiliki seorang insan bernama ‘Deepak J Tekwani’. Biarlah polis siasat hingga ke lubang cacing,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Tangkap layar daripada telefon bimbit Wee Ka Siong.
Tangkap layar daripada telefon bimbit Wee Ka Siong.

Lantaran itu, Ka Siong menggesa Deepak Jaikishan membuat laporan polis jika ada individu yang menyamar dan menggunakan namanya.

Dengan itu, Deepak boleh membersihkan dirinya daripada isu ini.

“Sekiranya Deepak Jaikishan merasakan ada orang yang menyamar (impersonate) beliau atas nama “Deepak” yang membuat panggilan kepada saya pada 13 Mac 2023, jam 9.51 pagi, saya menyeru agar Deepak Jaikishan membuat laporan polis bagi membersihkan namanya,” ujarnya.

Semalam Deepak menafikan beliau adalah individu yang didakwa mengeluarkan ugutan terhadap Ka Siong, berhubung isu bekalan telur import.

Deepak memaklumkan beliau tidak pernah berhubung dengan bekas Menteri Pengangkutan itu berkait apa-apa perkara pun.

“Saya tidak pernah hubungi dia, nombor telefon dia (Ka Siong) pun saya tiada.

“Macam mana pula ada berhubung dengan dia, ini tidak benar,” katanya memetik laporan BHarian Online.

Semalam,  Ka Siong dalam Dewan Rakyat mendakwa menerima ugutan berhubung kenyataannya di Dewan Rakyat membabitkan isu import bekalan.

Beliau mendakwa menerima panggilan daripada individu memperkenalkan diri sebagai ‘Deepak’ dan mewakili syarikat J&E Advance Tech, pagi semalam.

Ka Siong berkata, pemanggil lelaki itu mendakwa sudah berbincang dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk beliau memperbetulkan kenyataan dan menyelesaikannya di luar mahkamah. – MalaysiaGazette

Ka Siong dakwa diugut ‘Deepak’ guna nama PMO