Pelajar beratur bagi mengambil juadah Menu Siswa Rahmah pada Pelaksanaan Inisiatif Menu Siswa Rahmah di Kafeteria Randau Rasa, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Foto AFFAN FAUZI, 16 MAC 2023.

BANGI – Menu Siswa Rahmah bukan sekadar indah khabar dari rupa seperti didakwa sebaliknya harganya yang murah ternyata ‘menyelamatkan’ poket penuntut institusi pengajian tinggi.

Demikian maklum balas majoriti pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang rata-rata sudah menikmati menu berkenaan sejak ia diperkenalkan kerajaan.

Pelajar tahun ketiga Fakulti Pengajian Islam di universiti berkenaan, Muhammad Amir Luqman, 22, berkata, ternyata Menu Siswa Rasma merupakan inisiatif yang membantu pelajar daripada golongan B40.

Pelajar, Amir Luqman. Foto AFFAN FAUZI, 16 MAC 2023.

Ujar beliau, dengan jualan menu berkenaan di kafeteria UKM, pelajar yang datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan dapat berjimat.

“Menu Siswa Rahmah adalah satu inisiatif yang baik untuk mahasiswa, sebab kita tahu mahasiswa memerlukan kewangan untuk tujuan pembelajaran. Makanan juga guna kos yang banyak jadi dengan adanya menu ini menjadi satu jawapan mahasiswa menjimatkan wang.

“Alhamdulillah, rasa hidangan Menu Siswa Rahmah pun sedap dan berkhasiat lengkap nutrisi karbohidrat, protein, ada ayam dan pelbagai lagi termasuk sayur.

“Selalunya kami mengeluarkan belanja RM10 untuk makan pagi sahaja. Jadi dengan ada Menu Siswa Rahmah jimat lebih banyak,” katanya.

Pelajar, Adam Salihin Ismail Fahmi. Foto AFFAN FAUZI, 16 MAC 2023.

Pelajar Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Adam Salihin Ismail Fahmi, 20, pula berpendirian Menu Siswa Rahmah tidak patut dipandang rendah kerana selain berkhasiat dengan padanan harga serendah RM3.50 selain rasanya juga lazat.

“Mahasiswa selalu ada masalah kewangan dan perlu fokus kepada perbelanjaan yang lain. Duit makan pun kena catu dan dengan ada menu ini memudahkan mahasiswa sebab murah.

“Bila saya rasa senang cakap, saya terdetik nak beli lagi selepas ini,” akuinya.

Sehubungan itu, pelajar asasi Fakulti Pusat GENIUS@Pintar Negara UKM, Ng zhen xuan, 19,  berharap supaya kerajaan dapat melanjutkan inisiatif berkenaan kerana ia jelas memberi manfaat kepada mahasiswa golongan B40 di universiti awam dalam negara.

Pelajar, Ng Zhen Xuan. Foto AFFAN FAUZI, 16 MAC 2023.

“Saya rasa Menu Siswa Rahmah baik untuk mahasiswa yang kurang berkemampuan. Pelajar tidak ada banyak duit. Jadi ini sangat beri manfaat kepada pelajar dengan kualiti makanannya yang penuh berkhasiat.

“Menu ini perlu dilanjutkan sebab ia sangat berfaedah untuk pelajar universiti,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kira-kira 320,000 pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam  seluruh negara dalam kategori golongan B40 layak menikmati Menu Siswa Rahmah dengan harga RM3.50.

Ujar beliau, sebanyak 20 IPTA dan politeknik seluruh negara menyertai inisiatif berkenaan.- MalaysiaGazette