Kakitangan Jabatan Korporat MPK melakukan pemeriksaan di lokasi.

KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Klang (MPK) tidak pernah memberikan kelulusan pembinaan kuil di Batu 7, Jalan Langat yang tular di media sosial seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Pengarah Komunikasi Korporat, Norfiza Mahfiz berkata, merujuk Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Klang 2035,zon guna tanah tapak cadangan adalah untuk ‘institusi dan kemudahan masyarakat’ serta tapak cadangan telah diwartakan pada 28 April 2016 bagi tujuan kuil,

Namun, katanya, syarat berkenaan menetapkan ia hendaklah mempunyai kawalan serta perlu diselenggara oleh sebuah persatuan agama .

Menurutnya, setelah beberapa kali perbincangan dibuat bersama pemaju dan pihak kuil, permohonan ini dibentangkan semula di Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat pada 9 September 2020 dan memutuskan permohonan berkenaan ditolak dengan mengambil kira beberapa faktor.

Antaranya tiada kemudahan infrastruktur sedia ada (jalan dan perparitan) yang sempurna dari jalan utama ke tapak mengikut spesifikasi  jabatan kejuruteraan.

Selain daripada itu, permohonan juga menimbulkan keraguan memandangkan pembinaan bangunan kuil tidak berada di tapak yang tepat berdasarkan tiada perimeter jalan dan perparitan di lokasi yang dikhaskan untuk bangunan kuil.

Justeru, MPK membuat keputusan untuk menangguhkan projek-projek baru pemaju utama (Tetuan KSL Development Sdn. Bhd) yang belum mempunyai Kebenaran Merancang pendirian bangunan kecuali projek Rumah Selangorku dan kedai mampu milik sehingga pemaju menyelesaikan isu infra dengan jabatan kejuruteraan.

Tambahnya, MPK turut menerima lagi bantahan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat, yang mana penduduk Kampung Sijangkang, Kampung Medan, Kampung Kebun Bharu Batu 9 yang menganggap pembinaan kuil itu tidak sesuai memandangkan ia berhampiran kampung-kampung yang didiami oleh penduduk yang majoritinya orang Melayu beragama Islam.

Norfiza berkata, setakat ini MPK sudah menerima sebanyak 2,258 bantahan.

Menurut penduduk, pembinaan kuil berdekatan kawasan kampung akan menimbulkan pelbagai masalah kerana akan menggunakan laluan Batu 7 Sempadan sebagai laluan utama.

Tambah Norfiza, notis peringatan memberhentikan aktiviti telah dikeluarkan kepada persatuan agama berkenaan pada 28 Februari 2023 dan satu lawatan tapak pada 1 Mac 2023 melibatkan ahli majlis MPK, ahli majlis Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPK) dan pimpinan setempat telah dilakukan ke situ.

MPK juga bakal mengadakan Mesyuarat Pendengaran Awam pada 24 Mac ini bagi mendengar alasan bantahan kedua- dua pihak dan dalam masa yang sama perkara ini akan di bawa ke Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam (LIMAS) untuk keputusan terkini isu berkenaan. – MalaysiaGazette