KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengacara, Nabila Huda rasa terkilan apabila ditikam dari belakang oleh sahabat baik sendiri.
Lebih menyedihkan, bekas pengacara Melodi itu mendedahkan individu terbabit juga menyimpan perasaan dengki sehingga sanggup ‘menabur pasir dalam periuk nasi’ dan menjaja cerita buruk tentang dirinya.
“Kisah tanpa berpenghujung punya hasad dengki. Awak cakap macam-macam belakang. Mengata syarikat di seberang, menfitnah untuk tabur pasir dalam periuk nasi sahabat sendiri. Terima kasih.
“Dalam kita tak sedar, sahabat sendiri boleh iri hati dengan kita. Sahabat sendiri boleh menganiaya kita. Nauzubillahiminzalik,” tulis di Twitter.
Menurut Nabila, 38, dia tidak perlu bertanya orang sekeliling sebaliknya khabar berkenaan perbuatan insan yang rapat dengannya terus sampai ke telinga.
“Kita nak cerita pasal bangsa lain itu ini, agama lain itu ini tapi depan mata, Melayu sendiri nak jatuhkan Melayu. Melayu sendiri yang dengki sesama sendiri. Tak pernah nak berdamai, ada saja iri hati. Bila nak habis pun tak tahulah.
“Tapi yang bagusnya orang-orang dianiaya tak perlu cari. Berita itu datang dengan sendiri di telinga tak kira berapa jauh pun. Tetap akan sampai.
“Alhamdulilah mungkin inilah keistimewaan orang yang teraniaya, dah dapat amaran siap-siap,” luah bintang filem Munafik itu lagi.
“Kalau ikutkan bila-bila masa saja boleh bagi perincian satu per satu keburukan dan kelemahan sesiapa dengan niat untuk menjatuhkan. Tapi untuk apa? Nak tambahkan musuh? Nak membenci sesama sendiri?
“Tak bergunanya hidup kalau ada perasaan kat atas (macam) ini. Sampai mati pun hidup tak dapat berkat. Jadi teruskanlah apa niat kalian. Teruskan apa saja perasaan benci kalian, kerja kotor kalian.
“Kerana kita baik dan sentiasa akan terus begini. Sentiasa rendah diri, sentiasa menghormati. Terus kekal dengan tingkah laku ini sebab kita pilih kesungguhan berbanding kata,” katanya.
Pada masa sama, Nabila yang mesra disapa Abil turut menitipkan peringatan buat semua supaya jauhkan sikap dengki kerana Allah sudah tentukan rezeki setiap hamba-Nya.
Sementara itu, menerusi syarikatnya, Neptunes Presents, Nabila bakal membawakan konsert kumpulan D’Masiv pada 2 Jun depan selepas kejayaan Konsert Senandung Malam membabitkan Payung Teduh X Pusakata dan Efek Rumah Kaca tahun lalu. – MalaysiaGazette