surat ROS
Saifuddin Nasution Ismail

PETALING JAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menganggap isu surat Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengenai usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan sudah berakhir.

Malah, menurut beliau, pemilihan UMNO sendiri akan dijalankan Sabtu ini.

“Saya dah move on dari episod tu. Diaorang (UMNO) pun nak mengundi dah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai isu surat yang tular itu, di mana usul tambahan tersebut yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 pada Januari lalu dianggap tidak sah.

Surat tersebut dialamatkan kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Pada 7 Mac lalu, Saifuddin Nasution dalam satu kenyataan memaklumkan, Kementerian Dalam Negeri memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 berhubung keputusan usul tersebut.

Sementara itu, berhubung rayuan pemecatan bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua terhadap pemecatannya tahun lalu, beliau yang juga Setiausaha Agung PKR memberitahu, setakat ini, Lembaga Disiplin belum mengangkat sebarang keputusan kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti.

“Saya pun tak sempat berhubung dengan Lembaga Disiplin jadi saya percaya mereka sedang meneliti kes-kes yang berupa rayuan daripada ahli yang dikenakan hukuman,” jelasnya.

Saifuddin Nasution menambah, MPP PKR juga bakal mengadakan mesyuarat di Shah Alam pada 17 Mac ini. – MalaysiaGazette