SESI akademik persekolahan baru 2023 akan bermula selang beberapa hari sahaja lagi. Pihak sekolah sudah memulakan gerak gempur persiapan sesi pengajaran-pembelajaran rutin sesi baru agar sesi persekolahan tampil teratur, lengkap dan selesa. Cuti persekolahan penggal akhir sesi akademik setiap tahun adalah sesi cuti sekolah paling lama dalam kalendar akademik sekolah.
Ibu bapa serta seluruh ahli keluarga menghabiskan banyak masa pada musim cuti sekolah dengan beraktiviti di luar. Anak-anak dapat melalui pengalaman baru menziarahi tempat pelancongan menarik, menghabiskan masa berenang dan mandi manda di pantai atau kolam renang, mencuba pelbagai permainan baru di taman tema, beraksi di dalam aktiviti sukan lasak di hutan, menikmati variasi makanan viral di restoran dan gerai terkemuka dan tidak kurang juga ramai yang mengambil peluang cuti panjang memilih destinasi luar negara sebagai tempat berehat sambil melepaskan lelah dek kesibukan bekerja dan belajar.
Menghabiskan masa yang panjang dan lama di luar menyebabkan diri terdedah kepada risiko jangkitan pelbagai penyakit. Lebih-lebih lagi bila berada di dalam kawasan yang sesak dengan orang ramai. Terdedah kepada cuaca panas atau hujan berpanjangan juga boleh menyebabkan seseorang menjadi tidak sihat.
Imuniti badan berkemungkinan menurun apabila tubuh badan melalui aktiviti fizikal yang berterusan. Apabila seseorang kurang rehat dan tidur, kekuatan sistem pertahanan badan akan berkurangan. Akibatnya, pelbagai mikroorganisma mudah menerobos masuk ke dalam sistem badan, yang menyebabkan tanda dan gejala jangkitan kuman mula timbul.
Selsema, batuk, sakit tekak dan demam adalah antara gejala awal jangkitan kuman virus pada kanak-kanak yang paling kerap berlaku. Ibu bapa perlu pastikan anak-anak mendapat rehat yang cukup sebagai salah satu persediaan penting kembali ke sekolah.
Sebaiknya, beberapa hari sebeum sesi persekolahan baru bermula, anak-anak telah diingatkan tentang aktiviti harian bersekolah yang biasa. Rutin masuk tidur awal dan bangun awal untuk solat subuh perlu dipraktikkan semula beberapa hari sebelum sekolah bermula agar anak-anak bersemangat dan positif untuk kembali ke sekolah. Keperluan sekolah anak-anak juga perlu disemak dan dipastikan cukup sebelum sekolah bermula.
Menyediakan keperluan sekolah bersama-sama bukan saja akan memastikan tiada keperluan yang tercicir, malah ia merupakan aktiviti keluarga yang dapat mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak. Menjadi satu tabiat yang baik sekiranya ibu bapa boleh menyediakan senarai keperluan sekolah anak-anak, dan memberi kepercayaan kepada anak-anak untuk menyemak dan melaporkan sebarang keperluan yang perlu diganti.
Justeru, masa yang cukup mesti diperuntukkan untuk sesi persediaan ini. Minggu terakhir cuti sekolah adalah tempoh yang sesuai dan memadai untuk seluruh ahli keluarga melakukan proses tersebut. Selain memastikan kesihatan tubuh badan anak-anak pada tahap optimum, ibu bapa juga wajar memastikan status gigi anak-anak adalah pada tahap terbaik. Bawa anak untuk mendapatkan pemeriksaan gigi sebelum cuti sekolah tamat.
Sekiranya tiada rawatan gigi diperlukan, nasihat dan tunjuk ajar cara penjagaan gigi adalah penting untuk memastikan rutin penjagaan kebersihan gigi anak-anak dapat dipantau seterusnya kesihatan gigi dapat dipastikan sentiasa pada tahap terbaik, terutama pada peringkat umur anak-anak yang masih mempunyai gigi susu, dan peringkat peralihan gigi susu ke gigi kekal. Dengan amalan penjagaan gigi yang betul, ibu bapa dapat memastikan anak bebas daripada penyakit gigi dan gusi seterusnya mengelakkan sebarang simptom kesakitan yang boleh mengganggu proses pembelajaran anak-anak di sekolah.
Rutin persekolahan sepanjang proses anak-anak membesar merupakan prosedur penerapan ilmu pengetahuan yang sangat penting. Ia bukan sahaja membuka peluang untuk anak-anak menimba ilmu dan menjadi bijak pandai untuk memastikan kehidupan yang terjamin selesa pada masa hadapan, malah merupakan sebuah proses menjalani kemahiran hidup dan belajar untuk memproses semua isu, masalah dan penyelesaian yang muncul sepanjang proses persekolahan.
Anak-anak perlu sentiasa diingatkan tentang objektif dan kepentingan untuk melalui pengalaman bersekolah ini, hingga tamat. Semoga, di dalam setiap nurani anak tertanam rasa yakin, semangat dan cita-cita tinggi untuk meneruskan perjuangan menimba ilmu dan pengalaman kehidupan sebagai persediaan laluan hidup mereka pada masa akan datang yang lebih mencabar.
Selamat kembali ke sekolah!
Dr. Nurjehan Mohamed Ibrahim
Pensyarah & pakar pergigian pediatrik
Fakulti Pergigian USIM, Kuala Lumpur