EUDR
Fadillah Yusof

 

KUALA LUMPUR – Hasrat Eropah untuk menetapkan Malaysia sebagai ‘berisiko tinggi’ di bawah Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EU) adalah tidak wajar, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi menegaskan, Malaysia tidak berisiko tinggi.

Malah, pekebun kecil juga tidak berisiko tinggi dan tidak boleh dikategorikan sedemikian.

Jelasnya, kadar penebangan hutan Malaysia secara relatifnya adalah sifar dan skim pensijilan MSPO membuktikan komitmen kita terhadap piawaian kemampanan yang komprehensif.

“Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) mesti diiktiraf oleh EU sebagai laluan kepada pematuhan peraturan,” katanya yang respons terhadap kebimbangan pekebun-pekebun kecil dengan peraturan EU itu.

Menurutnya, beliau mengambil maklum dan akan membawa suara pekebun kecil Malaysia untuk menyuarakan kebimbangan mereka tentang kesan serius Peraturan Penyahhutanan EU terhadap mata pencarian mereka dan penduduk luar bandar di Malaysia ke EU.

Fadillah berkata, pekebun kecil bergantung kepada eksport minyak sawit, getah dan komoditi pertanian lain untuk menyara keluarga mereka.

Namun, Peraturan EUDR merupakan satu halangan perdagangan yang besar bagi pekebun kecil untuk mengakses pasaran Eropah, ini akan mengakibatkan peningkatan
kemiskinan, penurunan pendapatan isi rumah dan menggugat masyarakat luar bandar.

“Tindakan sedemikian adalah tidak adil dan bertentangan dengan komitmen EU seperti yang digariskan dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG Goals) di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Pekebun kecil berhak dilayan secara adil dan mesti dikecualikan daripada tuntutan peraturan yang tidak realistik,” ujarnya.

Sehingga kini, kebimbangan dan tuntutan ini masih belum ditangani secara serius oleh pemimpin EU dan akibatnya nasib serta mata pencarian pekebun kecil Malaysia masih tidak menentu.

“Oleh itu, kita menggesa EU untuk membetulkan keadaan dengan berkesan dan secepat mungkin,” katanya sambil menambah bahawa kerajaan termasuk Kementerian Perladangan dan Komoditi komited untuk melindungi, menyokong dan mempertahankan kebajikan serta matapencarian pekebun kecil Malaysia.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast