KUALA LUMPUR – Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus dimasukkan ke wad untuk rawatan masalah kesihatan membabitkan paru-paru dan jantung di Kuala Terengganu hari ini.
Beberapa tokoh agama dan pemimpin politik di negeri itu memuatkan status mendoakan kesihatan ustaz selebriti itu termasuk Exco Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah.
“Semoga Allah terus merahmati dan mempermudahkan segala urusan buat Murrabi Ummah yang disayangi ini.
“Insya-Allah, sama-sama kita berdoa agar Allah SWT mengangkat penyakit yang dilalui oleh Al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus ini. Sesungguhnya, hanya kepada Allah SWT jua tempat kita memohon,” katanya dalam hantaran Facebook beliau.
Menurut hantaran di Facebook Ustaz Azhar Idrus, kuliah Maghrib yang sepatutnya berlangsung Masjid Kampung Bukit Tadok, Kuala Telemung, Terengganu semalam terpaksa ditangguhkan pada waktu lain.
“Ditangguhkan atas sebab kesihatan, doakan Kesembuhan buat Murabbi Ustaz Azhar Idrus,” kata pengendali Facebook Ustaz Azhar Idrus.
Baru-baru ini Azhar Idrus menjadi tumpuan selepas tidak dibenarkan mengadakan ceramah di Selangor kerana tidak mendapat tauliah. – MalaysiaGazette