PUTRAJAYA – Jawatankuasa Kabinet telah dibentuk untuk merangka langkah komprehensif dan menyeluruh dalam menangani isu kesesakan lalu lintas.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kementerian itu selaku sekretariat utama.
Menurutnya, mesyuarat pertama jawatankuasa itu akan diadakan awal April ini.
Katanya, kerajaan akan memberi perhatian serius kepada isu kesesakan lalu lintas itu dan disebabkan itu jawatankuasa tersebut ditubuh untuk memfokuskan kepada langkah-langkah komprehensif yang menyeluruh.
“Diharap pendekatan terancang dapat digunakan dalam menangani isu ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Laluan MRT2 Putrajaya di sini, hari ini.
Majlis peluncuran itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Depoh MRT Serdang.
Menurut beliau, Perdana Menteri mahu pengangkutan awam akan terus diberikan perhatian, dalam mempertingkat dan membangunkan rangkaian pengangkutan awam khususnya di Lembah klang bagi menangani kesesakan.
Ditanya sama ada jawatankuasa yang ditubuh dan dipengerusikan oleh Ahmad Zahid itu akan menyebabakan usaha Pakatan Harapan dalam menyelesaikan isu kesesakan bertindih, Anthony berkata, tidak.
Sebaliknya, jawatankuasa itu adalah satu usaha menjadikan pengangkutan awam lebih baik. – MalaysiaGazette