KUALA LUMPUR – Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Rasuah, Kota Kinabalu atas tuduhan meminta rasuah daripada pemandu bot di Perairan Sepanggar pada tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan, Jazul Abdullah, 30, didakwa meminta wang sebanyak RM2,000 daripada seorang lelaki yang didapati mengemudi bot yang telah tamat tempoh pada 17 Mac 2022.

Jazul didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan satu pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Rasuah berkenaan dimintanya sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pengadu dan botnya.

Hakim Jason Juga menetapkan denda RM5,000 kepada Jazul dan sekiranya gagal membayar denda berkenaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama enam bulan.- MalaysiaGazette