Yazid Omar
Calon Timbalan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Yazid Omar

KUALA LUMPUR – Berbekalkan pengalaman lebih 10 tahun menerajui dua pertubuhan sejak 2013, calon Timbalan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Yazid Omar yakin dapat memberi kekuatan baharu kepada UMNO dalam pemilihan parti kali ini.

Yazid, 40, mantan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya sejak 2018 rasa terpanggil untuk menawarkan diri bertanding jawatan nombor dua itu susulan prestasi buruk UMNO khususnya di kawasan itu pada dua pilihan raya lalu.

Beliau berkata, perwakilan UMNO Bahagian Petaling Jaya perlu memberi laluan dan peluang kepada muka baharu jika tidak mahu parti itu dilihat tidak relevan, khususnya dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN), Jun tahun ini.

“UMNO di politik era digital ini begitu dinamik, sehingga memaksa kita semua untuk membina kekuatan baharu.

“Pasca PRU14 & PRU15 menjadi bukti bahawa UMNO perlu dirombak semula dan diberi hela nafas baharu dalam kepimpinannya.

“UMNO perlu menjadi parti yang boleh mewakili dan dipercayai rakyat, di mana kini berdepan dengan defisit kepercayaan pengundi sejak dua pilihan raya lalu,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Kurang 48 jam dari sekarang, Pemilihan UMNO 2023 bagi peringkat UMNO Bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi bakal melabuhkan tirainya, tepat jam 6 petang esok.

Lebih 600 perwakilan UMNO Bahagian Petaling Jaya akan menunaikan tanggungjawabnya memilih barisan pimpinan kawasan itu bagi penggal 2023-2026.

Selain Yazid, jawatan tersebut akan direbut dua lagi calon, termasuk bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Dazma Shah Daud dan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan, Nor Azman Mohd Nor.

Dalam pada itu, Yazid yang pernah menerajui Kelab Bina Insan (KITA) dan Gerakan Belia 4B Parlimen Kelana Jaya serta terlibat dengan kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan mampu mengembalikan kekuatan akar umbi yang berpecah-belah akibat ketidaktentuan politik semasa.

“Saya akan gunakan pengalaman ini untuk membantu kepimpinan UMNO Bahagian, termasuk dalam menghadapi PRN di Selangor tidak lama lagi.

“Saya berazam untuk melakukan penyatuan akar umbi dengan mengangkat kembali martabat ketua-ketua cawangan UMNO yang kurang mendapat pembelaan sebelum ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast