Aksi Blake Johnston ketika meluncur di Pantai Cronulla. foto ABT Live

SYDNEY – Blake Johnston, seorang lelaki warga Australia memecahkan rekod dunia selepas meluncur untuk tempoh paling lama – 30 jam 11 minit di Pantai Cronulla di selatan Sydney.

Acara maraton meluncur itu berjaya mengumpul dana kira-kira $A240,000 (£132,000) bagi tujuan kerja amal.

Dengan menggunakan lampu sorot (sportlight) untuk menerangi kawasan ombak di Pantai Cronulla yang dikenali sebagai “The Alley“, Johnston terus meluncur semalaman dan menjelang tengah hari hari Jumaat, beliau telah melepasi lebih 600 ombak.

Dalam keghairahannya itu, bekas peluncur profesional dan pelari jarak jauh berusia 40 tahun itu sebenarnya berdepan risiko buta, telinga dijangkiti dan dehidrasi, serta kurang tidur, hipotermia, serangan jerung dan sengatan obor-obor.

Namun, risiko itu tidak mematahkan semangat Jonhston.

Dia hanya berhenti sebentar pada waktu makan tengah hari pada hari Jumaat untuk pemeriksaan kesihatan dan menerima ubat mata.

“Saya meluncur pada pukul dua pagi bersamanya, dan sebenarnya lampu padam sehingga gelap gelita. Terdapat sejumlah besar obor-obor di luar sana,” kata abangnya, Ben.

Bercakap menjelang cabarannya, Johnston berkata: “Saya fikir, saya boleh melakukannya kerana saya boleh berlari selama 40 jam,”.

Johnston sedang mengumpul dana untuk Yayasan Chumpy Pullin, yang ditubuhkan bagi memperingati pemain papan salji Olimpik Australia Alex ‘Chumpy’ Pullin yang lemas di Gold Coast semasa memancing `pada tahun 2020.

Dia juga menyokong badan amal kesihatan mental, sebahagiannya sebagai penghormatan kepada bapanya yang mengambil nyawanya sendiri sedekad lalu. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast