Seorang lelaki yang mengalami masalah obesiti terpaksa dihantar ke Hospital Pulau Pinang dengan khidmat pihak bomba susulan terjatuh di rumahnya di Farlim di sini, semalam.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki yang mengalami masalah obesiti dengan berat mencecah 150 kilogram (kg) terpaksa diangkat menggunakan khidmat khas pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk dihantar ke Hospital Pulau Pinang.

Mangsa berusia 58 tahun mengidap kencing manis itu dikatakan terjatuh di dalam rumahnya di Pangsapuri Sri Ivori, Farlim di sini, semalam.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Yusri Zakaria berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan pada jam 2.46 petang.

Katanya, seramai 10 anggota termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi sejurus menerima panggilan.

“Sebaik tiba di lokasi, kita dapati seorang lelaki dengan berat dianggarkan 150 kg terjatuh dan gagal diangkat dengan bantuan ahli keluarga.

“Anggota bomba kemudian membantu mengangkat mangsa dengan peralatan khas dan dibawa turun menerusi lif,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut Yusri berkata, mangsa tidak dapat dibawa menaiki ambulans berikutan tidak muat sebelum sebuah kenderaan khas dari hospital dipanggil bagi membawa mangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast