Gambar hiasan

IPOH – Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan mencederakan dua anggota polis dalam kejadian di pos pengawal Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, malam tadi.

Kejadian jam 12.05 tengah malam itu berlaku selepas suspek berusia 30 tahun yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk melanggar penghadang jalan berhampiran polis pengawal PLPGU.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, susulan pelanggaran itu suspek mengamuk dan memukul dua anggota polis yang melakukan pemeriksaan ke atasnya di lokasi kejadian.

“Akibat diserang lelaki dibawah pengaruh alkohol itu, kedua-dua anggota polis terbabit mengalami cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

“Manakala suspek ditahan sepasukan polis yang tiba di lokasi bagi memberikan bantuan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Yahaya, suspek direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan kekerasan jenayah untuk menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kerana memandu dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan,” jelas beliau. – MalaysiaGazette