Lloyd (belakang) dan Roger dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas pertuduhan terbabit dalam sindiket penipuan pelaburan antarabangsa.

BUTTERWORTH – Dua lelaki warga United Kingdom yang terbabit dalam sindiket pelaburan antarabangsa berjumlah lebih RM52,000 dihukum penjara enam bulan dan denda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Lloyd George Bedwell, 48 dan Roger Hoi Wing Wu, 46 diarahkan menjalani hukuman itu bermula tarikh mereka ditahan iaitu 21 Februari lalu, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Zulhazmi Abdullah.

Mengikut dua pertuduhan itu, Lloyd dan Roger bersama seorang lagi yang masih bebas iaitu Jacob Yazdi didakwa telah menipu dua warga Austria, Trevor Ronald John Curtis dan Kimberley John Buist Walker.

Tertuduh dihukum penjara enam bulan dan denda RM100,000.

Ia bagi memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa mereka dijamin akan mendapat kentungan tinggi daripada satu pelaburan jangka masa singkat dengan membuat pembelian saham di syarikat dikenali sebagai Devon Energy Corporation yang kedua-dua tertuduh ketahui tidak wujud.

Dengan itu, mereka dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan sejumlah AUD8,991.92 (RM27,018.28) AUD8,573 (RM25,759.54) ke dalam akaun RHB Bank Berhad milik MB International Sdn. Bhd.

Kesalahan itu dilakukan mereka di Island Plaza Tower, Tanjong Tokong pada 16 Disember 2022 dan 5 Januari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Roger didakwa terbabit dalam sindiket penipuan pelaburan antarabangsa secara dalam talian.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Gharib, Noor Azura Zulkifli dan Afiqa Liyana Rozman manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam V. Muniandy dan A. Ashok.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan sindiket pelaburan antarabangsa yang didalangi warga UK dalam serbuan secara berasingan di 24 premis pada 21 Februari lalu.

Op Tropicana dijalankan serentak termasuk di tiga pusat panggilan, syarikat dan kediaman ahli sindiket di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang tanpa kehadiran pihak polis.

Sindiket itu dikatakan mengaut hampir RM200 juta daripada mangsa warga Australia dan UK, malah dipercayai memberi suapan kepada pihak berkuasa supaya mereka boleh terus beroperasi. – MalaysiaGazette