CUKUP dangkal mentaliti sesetengah individu yang akhir-akhir ini menjadikan kod etika pemakaian di premis kerajaan menjadi isu besar. Dalam sebulan dua ini sahaja, selepas isu pelanggaran etika pemakaian di Hospital Kampar, timbul pula drama “play victim” di pejabat SSM.

Seolah-olah baru datang ke Malaysia atau baharu sahaja menjadi rakyat Malaysia walhal kod etika pemakaian sudah berpuluhan tahun lamanya terpahat di premis-premis kerajaan. Bukanlah suatu yang sukar untuk dituruti kod etika pemakaian jika betul-betul “berjiwa Malaysia”. Secara asasnya, baik lelaki mahupun perempuan cukup dengan mengenakan pakaian sopan dan bertutup dari bahu hingga paras bawah lutut. Itu sahaja.

Apakah kita selaku masyarakat umum masih ingin melihat drama-drama percubaan “play victim” seterusnya dari pesalah-pesalah etika ini? Atau masyarakat kita dan menteri akan
terus menerus bertoleransi demi redha dan kepuasan hati segelintir individu dan kelompok? Adakah peraturan dan etika pemakaian itu hanya sah dan kuatkuasa bagi sesetengah orang dan kaum sahaja secara khususnya?

Untuk masa akan datang diharapkan pihak kementerian dan pengawai atasan, bertoleransi janganlah sampai prinsip tergadai, prinsip rukun negara ke 5 akan terus dipermainkan jika kuatkuasaan ini bersifat selektif apabila terus menerus bersikap apologetik bagi individu-individu yang sengaja degil dan berniat provokasi. Memetik kata-kata Abraham Lincoln “Laws without enforcement are just good advice.” Suatu peraturan hanya akan dipandang sebagai amaran semata-mata jika penguatkuasaan peraturan tersebut lemah dan tidak konsisten.

Justeru itu, ini hanya membuka ruang kritikan terhadap kerajaan jika pihak atasan tidak bertegas dengan peraturan sendiri malah disalahkan dan “dikambing hitamkan” pula staf
yang menjalankan tugas walhal mereka hanya mengikut peraturan kerajaan. Sepatutnya sebagai pihak pengurusan wajar mempertahankan pihak pelaksana iaitu staf bawahan jika sememangnya staf itu melaksanakan tugasnya dengan penuh berhemah. Sudah tentu etika pemakaian selama ini ditetapkan di premis kerajaan ada kewajarannya tertentu.

Saya yakin dan pasti sifat apologetik, amalan provokasi terhadap isu fundamental sosial seperti ini bukanlah acuan dan mentaliti masyarakat Malaysia Madani yang PMX dan kita
impikan. Oleh itu, saya berharap pihak kementerian khususnya Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia dibawah YBM Fahmi Fadzil wajar pupuk kesedaran masyarakat dalam apa jua bentuk kempen di platform milik kementerian tanpa sebarang sikap apologetik bagi isu seperti ini yang dipatutnya sudah dalam makluman semua, namun terus menerus
di”ganjil”kan oleh sesetengah pihak.

Lihat sahaja di ruangan komen di halaman Facebook portal berita berbahasa inggeris dan bukan bahasa Melayu yang lain utama di negara berkenaan isu ini, anda boleh menilai sendiri bagaimana masih wujud golongan pemikiran yang tidak mahu bersikap “masuk kendang kambing mengembek, masuk kendang kerbau menguak” disebabkan sifat ego dan bermentaliti “bagai kaduk naik junjung”. Selagi masih wujud kepercayaan sesetengah masyarakat melabel perkara seperti ini sebagai “hak orang bukan Islam” nescaya Malaysia selepas ini bukan sahaja terancam dengan segregasi ketara dalam ekonomi, penempatan, pendidikan malah dalam peraturan sekecil ini pun.

MUHAMMAD BURHAN SYAKIRIN
Mahasiswa Tahun 4, UPSI