Gambar hiasan

KUALA LUMPUR -Pemegang amanah Sunway REIT, RHB Trustees Bhd menandatangani perjanjian jual beli bersyarat dengan anak syarikat milik penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kwasa Properties Sdn Bhd untuk membeli enam kompleks pasar raya besar/runcit Giant pada RM520 juta.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis, Sunway REIT menjelaskan cadangan pembelian itu dianggap sebagai transaksi pihak berkaitan susulan minat satu daripada pemegang unit utamanya iaitu KWSP.

“Pertimbangan pembelian itu adalah wajar selepas mengambil kira hartanah terbabit dibeli secara berasingan dan kolektif di bawah nilai pasaran hartanah, dengan pertimbangan pembelian meliputi diskaun kira-kira 12.3 peratus daripada agregat nilai pasaran hartanah seperti yang dinilai oleh jurunilai,” jelasnya.

Sunway REIT menyifatkan pelaburan berpotensi itu, dari segi penambahan keuntungan dan pengagihan seunit, akan meningkatkan kestabilan pendapatan menerusi perjanjian pajakan dan purata wajaran tarikh akhir pajakan portfolionya serta memperkukuh dan mempelbagaikan portfolio geografi syarikat sebagai kewajaran untuk cadangan pembelian itu.