Keratan video insiden pekerja restoran mamak menjadi mangsa pelanggan mengamuk

SEPANG – Polis telah menahan tiga lelaki yang terlibat dalam insiden mengamuk di dalam sebuah restoran mamak di Cyberjaya.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, tiga suspek yang ditahan berusia 50 dan 51 tahun ditahan hari ini.

“Penahanan pertama dibuat pada jam 1.40 pagi di pekarangan Balai Polis Cyberjaya manakala dua lagi ditahan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang kira-kira jam 10 pagi.

“Semakan mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324, Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Sementara itu Wan Kamarul Azran menjelaskan, insiden amukan itu dipercaya berpunca tindakan pekerja yang menegur perbuatan salah seorang lelaki disyaki mabuk mengambil makanan dengan menggunakan jari.

Katanya, pengurus premis restoran terkenal itu dimaklumkan mengenai kejadian terbabit menerusi panggilan daripada pekerjanya kira-kira jam 7.30 petang.

Menurutnya, pengurus berusia 48 tahun yang bergegas ke premis mendapati beberapa barangan telah dirosakkan seperti pinggan, selain lauk yang tercemar dan terpaksa dibuang.

“Siasatan awal polis mendapati tiga lelaki tempatan datang ke restoran terbabit untuk makan.

“Salah seorang daripada lelaki itu kemudian telah menggunakan jarinya untuk mengambil lauk di bahagian nasi kandar dalam keadaan mabuk.

“Kemudian pekerja premis telah menegur supaya tidak membuat sedemikian,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, akibat ditegur, suspek telah bertindak agresif dan memukul pekerja premis.

Katanya, salah seorang suspek turut menggunakan penyepit makanan besi untuk memukul pekerja (mangsa) pada bahagian kepala dan badan.-MalaysiaGazette