Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Satu kajian telah menunjukkan bahawa sejumlah 13.4 peratus kanak-kanak dan remaja yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar kawasan Kuala Lumpur dan Selangor mempunyai pemikiran untuk membunuh diri dan mencederakan diri sendiri akibat tekanan hidup.

Menurut laporan kajian Institut Penyelidikan Tingkah Laku Kesihatan, Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) itu, 12.3 peratus kumpulan berkenaan didapati mengalami masalah kesihatan mental iaitu kemurungan dan kebimbangan.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata Laporan Kajian Faktor Penyumbang kepada Tekanan Psikologi, Strategi Daya Tindak dan Tingkah Laku Mendapatkan Bantuan Dalam Kalangan Kanak-kanak dan Remaja yang tinggal di PPR Lembah Klang itu, dijalankan di 37 PPR melibatkan 1,578 kanak-kanak dan remaja dengan memberi fokus kepada mereka berumur antara 10 dan 17 tahun.

Beliau berkata antara faktor menyumbang kepada masalah kesihatan mental kanak-kanak dan remaja itu adalah tekanan ekonomi, persekitaran rumah yang sempit dan tekanan daripada rakan sebaya.

“Hasil dapatan kajian seperti ini membolehkan KKM bersama-sama agensi lain berganding bahu untuk memahami masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja dan mengenal pasti jalan penyelesaian strategik untuk mengatasi masalah mental yang dihadapi secara holistik.

“Semua pihak perlu memberi fokus kepada kesihatan mental dan memainkan peranan masing-masing demi kesejahteraan mental masyarakat – ‘It’s everybody’s business’,” katanya selepas melancarkan Program Bersama Komuniti: Myhealthymind@PPR dan laporan teknikal kajian itu di sini hari ini.

Lukanisman berkata dapatan kualitatif kajian itu juga menunjukkan kebanyakan remaja mengalami masalah emosi menangani stres dengan cara tidak sihat seperti merokok dan pengambilan bahan terlarang selain mempunyai tingkah laku mendapatkan bantuan khidmat psikososial yang rendah.

Beliau berkata kajian yang bakal dibawa ke Mesyuarat Majlis Promosi Kesihatan Mental yang dipengerusikan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa pada 22 Mac ini, antara lain mencadangkan langkah-langkah yang perlu dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi termasuk badan bukan kerajaan.

Katanya KKM melalui perkhidmatan Talian Bantuan Sokongan Psikososial yang diwujudkan semasa pandemik COVID-19, menerima 308,445 panggilan dalam tempoh 25 Mac 2020 hingga 31 Dis 2022, dan 228,480 panggilan atau 72.2 peratus daripadanya adalah daripada mereka yang memerlukan sokongan emosi dan kaunseling disebabkan stres kronik, kemurungan dan keresahan.

“Perkhidmatan talian ini ditambah baik kepada Talian HEAL 15555 (Help with Empathy and Love) yang dapat diakses melalui talian bernombor 15555 yang beroperasi setiap hari termasuk cuti umum bermula pukul 8 pagi sehingga 12 tengah malam yang dikendalikan Pegawai Psikologi Kaunseling KKM.

“Sejak beroperasi pada 21 Okt 2022, Talian HEAL menerima 8,904 panggilan, dan daripada jumlah panggilan ini, 97 adalah pemanggil yang mempunyai tingkah laku bunuh diri serta cubaan bunuh diri, dan daripada jumlah ini, 51 kes cubaan bunuh diri berjaya diselamatkan, dirujuk ke hospital,” katanya. – BERNAMA

 

2 Komen

  1. Duduk di PPR pun ada duit merokok lebih-lebih lagi mendadah maka tak heranlah menghadapi tekanan hidup susulan aktiviti kriminal. Berambus keluar dari PPR bagi yang masih merokok atau mendadah barulah selesai masalah tekanan hidup okay.

    • Kau je lah yang “terpaling” bagus dalam dunia . Kalau semua orang ada sikap dan mentaliti bodoh macam kau , tak hairanlah semua benda serba tak kena buat kau . Duduk pun ppr sembang macam berduit sangat .

Comments are closed.