Perdana Menteri dan juga Presiden Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Kongres Nasional Khas 2023 Malaysia Madani : Pelaksanaan Sebuah Idealisma di Stadium Melawati, Shah Alam. Foto MUHD NA’IM, 18 MAC 2023.

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad agar tidak memperbodohkan rakyat dengan mendakwa kaum Melayu hilang kuasa selepas dua pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

Presiden PKR itu menegaskan, rakyat tidak terlalu bodoh untuk termakan dengan dakwaan berkenaan.

“Sepanjang 22 tahun kamu sebagai perdana menteri dan ada kuasa, apa yang kamu buat untuk tingkatkan ekonomi orang Melayu?

“Apabila sudah hilang kuasa, kamu cuba menakutkan rakyat dengan menyatakan kaum Melayu hilang kuasa.

“Saya, sebagai perdana menteri, walaupun sudah empat bulan mentadbir Kerajaan Perpaduan, saya utamakan orang Melayu selain kaum lain,” katanya dalam Ucapan Dasarnya sempena Kongres Nasional Khas 2023 di Stadium Malawati di sini hari ini.

Baru-baru ini, Dr. Mahathir dalam kenyataannya memberi amaran bahawa kaum Melayu akan hilang kuasa sepenuhnya di negara ini selepas dua kali PRU.

Peringatan keras itu disuarakan beliau berikutan suasana politik ketika ini yang menurutnya, kekuatan dominan bangsa pribumi tersebut semakin teruk terhakis setelah PRU15.

Menurut Anwar, beliau berusaha memastikan orang Melayu dan rakyat miskin di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan mendapat pembelaan sewajarnya.

Beliau turut menyindir pemimpin kerajaan sebelum ini yang mengumpul kekayaan untuk kepentingan peribadi dan parti sehingga ada yang mempunyai ratusan juta dalam akaun parti.

“Saya tidak akan buat seperti mereka. Saya kumpul orang-orang kaya di negara ini meminta mereka turut sama membantu kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Konglomerat, Tan Sri Syed Mokhtar Bukhary contohnya, bersetuju menyumbangkan keuntungan BERNAS untuk membantu petani.

“Ini yang saya lakukan, bukan kumpul duit rakyat, masukkan dalam akaun parti,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Boleh abaikan manusia ni…dh tak relevan dh. Dah ditolak pengundi pru 15 dgn hilang deposit.

Comments are closed.