Wan Mohd Zahari Wan Busu.

KUANTAN – Seorang guru bernasib baik apabila hanya mengalami kecederaan setelah terjatuh dari bangunan setinggi empat tingkat di sini  petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, guru kelas pra sekolah berusia 28 tahun itu dikatakan mengalami gangguan mental dan mendengar suara sebelum bertindak terjun.

Akibat kejadian itu, menurutnya, mangsa mengalami kecederaan bengkak pada bahagian muka dan kesan luka pada bahagian siku kiri selepas jatuh dari bangunan.

Guru wanita itu kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) oleh rakan sejawat bagi menerima rawatan.

“Hasil temu bual dengan mangsa yang berada dalam keadaan sedar kebingungan dan menyatakan tidak tahu kejadian yang berlaku menimpa dirinya,” katanya.

Menurut Wan Mohd Zahari, mangsa memaklumkan hanya ada mendengar suara dalam tempoh empat hari berturut-turut supaya bertindak terjun daripada tingkat 4 SJK (C) Semambu sahaja dan katanya juga tidak tahu bagaimana boleh berada di Zon Merah HTAA.

“Manakala saksi mengatakan mangsa masih dalam pemantauan sebagai pesakit psikiatri di HTAA Kuantan dan juga Hospital IIUM Kuantan,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Zahari berkata,  seorang saksi telah melihat sendiri mangsa telah berada di luar penghadang di bangunan itu seperti ingin terjun.

Saksi menyatakan sebelum itu, seorang guru wanita cuba memujuk mangsa daripada bertindak terjun tapi tidak diendahkan mangsa.

“Kes dicadangkan akan dirujuk kepada pihak HTAA memandangkan mangsa merupakan pesakit psikiatri dan masih dalam pemantauan pihak hospital,” katanya. – MalaysiaGazette