Datuk Shahelmey Yahya

SANDAKAN – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini mengesahkan Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya digantung keahlian parti selama enam tahun.

“… dia kena gantung selama enam tahun…,” katanya kepada pemberita tanpa mengulas lanjut perkara itu ketika menghadiri Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Bahagian UMNO Kinabatangan hari ini.

Shahelmey pula berkata sehingga kini, beliau masih belum menerima apa-apa makluman rasmi daripada UMNO mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Putatan itu berkata pihaknya telah menjangkakan keputusan sedemikian dikenakan terhadap beliau.

“Saya menerimanya dengan berlapang dada dan saya berharap kenyataan yang diberitakan (oleh Bung Moktar) itu boleh dianggap sebagai keputusan rasmi,” menurutnya dalam kenyataan ringkas.

Pada 7 Jan lepas, Bung Moktar mengumumkan UMNO dan Barisan Nasional Sabah menarik sokongan terhadap Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri namun Shahelmey bersama empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu kekal menyokong Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkenaan.

Bagaimanapun, pada 21 Feb lepas, keempat-empat ADUN iaitu Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin) bersama seorang lagi ADUN UMNO Datuk Hamild@Hamid Awang (Balung) telah mengumumkan keluar parti.

Pada 25 Feb lepas, Shahelmey yang juga ADUN Tanjung Keramat berkata beliau telah dipanggil oleh Lembaga Disiplin UMNO dan selesai membuat pembelaan atas pendiriannya itu.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ketua Bahagian UMNO Kinabatangan selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan kali ini, berkata tindakan ADUN terbabit yang keluar parti tidak akan sama sekali mengganggu gugat UMNO Sabah.

Ditanya tindakan pemimpin itu menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pimpinan Hajiji, beliau berkata ia sama seperti era pentadbiran Berjaya sekitar pertengahan 1970-an hingga 1980-an dan melihat penyatuan tersebut sebagai sesuatu yang tidak dapat bertahan lama.- BERNAMA