PONTIAN – Keputusan pertandingan jawatan Naib Presiden, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap UMNO akan diketahui menjelang tengah malam ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, hanya 189 daripada keseluruhan 191 bahagian UMNO melaksanakan pemilihan.
Dua lagi bahagian iaitu Tanah Merah, Kelantan dan Kota Kinabalu, Sabah tidak melaksanakan pemilihan kerana digantung.
Ahmad berkata, proses pengiraan dan keputusan pengundian bagi kesemua jawatan di peringkat pusat dan bahagian diharap selesai pada sebelah malam.
Ini bagi membolehkan keputusan diketahui pada tengah malam ini.
“Proses persidangan sayap Pemuda, Puteri dan Wanita pada minggu lalu berjalan lancar dan hanya 20 bantahan ketidakaturan yang diterima Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), ia meliputi kurang tiga peratus.
“Ini bermakna 97 peratus lagi berjalan lancar, saya kira proses pemilihan itu ‘A’.
“Oleh itu, ia menunjukkan demokrasi di dalam UMNO bertambah subur dengan semua ahli-ahli akan membuat keputusan bagi memilih barisan kepimpinan bagi tempoh 2023 hingga 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai mengundi bagi UMNO Bahagian Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini hari ini.
Lapan pemimpin UMNO merebut tiga kerusi Naib Presiden iaitu Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad, Datuk Seri Wan Rosdy Wan ismail, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Mohd. Yusof Musa.
Dua lagi calon Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin juga bertanding bagi mempertahankan jawatan itu.
Manakala 95 orang akan bertanding bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi. Turut tampil bagi merebuk kerusi berkenaan adalah Datuk Lokman Noor Adam, Datuk Seri Jamal Md. Yunos, Dr. Mohd. Khir Toyo, Isham Jalil, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Datuk Zahida Zarik Khan.
Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan kali ini selaras keputusan yang dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu.-MalaysiaGazette