Mohd Khairuddin Aman Razali
Mohd. Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Tindakan membatalkan cadangan program membawa belia menziarahi gereja dan rumah ibadat lain oleh sebuah syarikat sangat dialu-alukan.

Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, secara prinsip sebarang tindakan yang menimbulkan keraguan awam dan menyentuh sensitiviti beragama sewajarnya dielak.

Ini supaya pelaksanaannya tidak menimbulkan persepsi dan prejudis terhadap kerajaan.

Menurut Mohd Khairuddin, membawa belia ke rumah ibadat yang tidak dianuti bukanlah satu-satunya cara untuk memupuk toleransi antara kaum dan agama.

“Toleransi antara kaum boleh dilaksanakan dan dipupuk dengan cara lain melibatkan program kebajikan bersama, kesukanan dan sebagainya tetapi tidak menyentuh perkara sensitif melibatkan agama dan beragama,” kata Mohd Khairuddin dalam kenyataan.

Jelas beliau, dalam Islam, Mazhab Hanafi mengharamkan perbuatan masuk ke dalam gereja secara mutlak manakala Mazhab Syafie mengikat pengharaman sekiranya terdapat patung.

Sebahagian ulama Mazhab Hambali memakruhkan sekiranya terdapat patung dan sebahagian ulama dalam mazhab tersebut mengharuskan dengan hujah perbuatan Khalifah Umar al-Khattab yang menolak jemputan makan di gereja tetapi mengarahkan Ali untuk hadir.

“Dari situ dapat difahami bahawa memasuki gereja oleh orang Islam bukanlah perkara yang dibolehkan sewenang-wenangnya dan digalakkan tanpa alasan dan tujuan.

“Fatwa Lajnah Tetap Kajian Akademik dan Fatwa, Saudi Arabia menyebut sekiranya pemergian kamu ke gereja untuk sekadar menggambarkan toleransi dan tolak ansur maka tidak harus.

“Sekiranya ia adalah persediaan kepada menyeru mereka kepada Islam dan memperluaskan ruang dakwah sedang kamu tidak menyertai ibadat mereka dan tidak dibimbangi terpengaruh dengan akidah, adat dan amalan mereka maka ianya diharuskan,” kata Mohd. Khairuddin.

Tambah beliau, dalam konteks Malaysia undang-undang jelas melarang sebarang usaha pengembangan agama lain kepada orang Islam.

Enakmen beberapa negeri termasuk Selangor menetapkan antara kesalahan Jenayah Syariah ialah mendekati orang Islam untuk mendedahkan mereka kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan sesuatu mengenai agama bukan Islam.

Sama ada dengan cara mengunjungi atau mengatur perjumpaan atau menghubungi orang Islam.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast