Musa (tengah) melihat ahli UMNO mengundi pada Pemilihan UMNO Bahagian Bukit Mertajam di UiTM Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – UMNO Pulau Pinang akan memberi fokus kepada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu di negeri ini menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, pembahagian kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN itu dilakukan selepas selesai pemilihan UMNO hari ini.

“PRN kali ini Insya-Allah kita akan bekerjasama dengan PH memandangkan kita sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

Musa bercakap dengan pemberita pada sidang media di Pulau Pinang hari ini.

“Tumpuan kita adalah 15 kerusi majoriti Melayu dan perbincangan mengenai pembahagian kerusi itu akan dibuat dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Amanah nanti.

“Perbincangan pertama kita membabitkan kerusi Melayu kemudian baru membabitkan kerusi campuran,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang di sini hari ini.

Terdahulu, Musa berjaya mengekalkan jawatan selaku Ketua Bahagian UMNO Bukit Mertajam setelah menang tanpa bertanding dalam pemilihan hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Bahagiannya, Mohammad Fauzi Sharif yang turut mengekalkan jawatannya menang tanpa bertanding.

Mengulas lanjut Musa berkata, pihaknya akan bertanding tiket BN pada PRN nanti meskipun menjalinkan bekerjasama dengan PH.

Beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata, kerjasama Kerajaan Perpaduan adalah bagi menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil bukan bergabung dari daripada segi parti.

“Soal parti kita tidak bergabung cuma untuk PRN kali ini kita bertolak ansur dengan PH agar tiada pertembungan tiga penjuru yang mungkin akan merugikan kedua-dua pihak,” jelas Musa. – MalaysiaGazette