Mohamed Sukri Omar

SHAH ALAM – Dewan Pemuda Pas Selangor (DPPS) bersedia membantu memenangkan parti itu dan gabungan Perikatan Nasional (PN) negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Bahkan, DPPS akan mengetengahkan calon muda yang berkaliber dan berpotensi menang, selain menggembeleng kekuatan jentera pemuda sayap parti sehingga mencapai kemenangan.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, pihaknya yakin dapat menumbangkan Pakatan Harapan (PH) Selangor dengan mengambil kira sokongan rakyat yang ampuh terhadap PN dan kegagalan pihak lawan membela kebajikan rakyat.

Menurut beliau, ketakutan PH Selangor dapat dizahirkan melalui ucapan fitnah Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari dalam Kongres Khas PKR yang menyamakan Gelombang Hijau dengan gelombang fasis.

“Ianya merupakan bukti betapa terdesaknya PH Selangor sehingga membawa label jahat bagi menakutkan rakyat.

“PH wajib dikuburkan dalam PRN ini dan PRU-16 akan datang kerana tindakan parti gabungan itu saban hari menguburkan demokrasi dan kebebasan bersuara dalam negara ini serta bertindak seolah kerajaan kuku besi,” katanya pada Muktamar Pemuda Pas Selangor, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Sukri mengesa Amirudin bercuti sementara siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu projek rundingan terus RM700 juta Sungai Klang, selesai.

DPPS juga, katanya, bersedia bila-bila masa bersama barisan pemimpin politik, masyarakat dan dengan sokongan rakyat akan mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang kini dipimpin oleh Kerajaan Perpaduan yang gagal membawa aspirasi rakyat dalam pentadbiran.

“Kepimpinan negara hari ini telah memungkiri harapan rakyat dengan mengangkat pemimpin politik yang kini sedang menghadapi pertuduhan kes rasuah dalam barisan Jemaah Menteri.

“Pada masa sama, mengenakan pendakwaan terpilih terhadap pemimpin politik pembangkang, selain mengekang kebebasan suara dan melakukan intimidasi politik terhadap anak muda yang menyokong PN.

“Kerajaan Perpaduan juga mengambil mudah soal kebejatan masalah sosial serta keterukan agenda liberalisme dan pluralisme agama yang semakin mengakar dalam masyarakat,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.