Fuziah Salleh menyertai aktiviti memasak bubur lambuk secara bergotong-royong bersama peniaga di Pasar Tani UTC Pahang hari ini.

KUANTAN – Seramai 96,000 pengunjung di Bazar Ramadan Rahmah di seluruh negara akan menerima insentif e-dompet (e-wallet) sebanyak RM20 seorang sepanjang Ramadan bermula minggu depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, insentif terbabit melibatkan peruntukan keseluruhan kira-kira RM2.3 juta yang disalurkan melalui kementerian itu yang mana sebanyak enam kali di setiap negeri.

Menurutnya, pelaksanaan insentif itu bagi mendidik masyarakat supaya berbelanja menggunakan e-dompet sekali gus menggalakkan perbelanjaan tanpa tunai.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Bubur Lambuk Sempena Sambutan Ambang Ramadan di sini hari ini.

Menurut beliau, sehingga kini 29 lokasi Bazar Ramadan Rahmah disediakan di seluruh negara menjelang bulan puasa nanti.

“KPDN menganjurkan Bazar Ramadhan Rahmah yang mensasarkan penyertaan 50 lokasi, dan sehingga kini sudah ada 29 sudah mendaftar.

“Setiap bazar mempunyai 30 buah gerai yang mana peniaga menawarkan penjimatan makanan sebanyak 30 peratus dan Menu Rahmah dan lokasi disasarkan perlu tempat yang startegik di kawasan B40 bagi membantu golongan itu,” tambah beliau.

Dalam program hari ini menyaksikan seramai 240 peniaga bergotong royong menyediakan 6,000 bubur lambuk untuk diedarkan kepada pengunjung di Pasar Tani UTC Pahang di sini,

Fuziah berkata, aktiviti yang memupuk kerjasama di kalangan peniaga diadakan sempena menyambut ketibaan Ramadhan tidak lama lagi merupakan tradisi sejak 18 tahun lalu.

“Aktiviti memasak itu dimulakan seawal jam 5 pagi tadi dengan menggunakan 20 buah kawah besar.

“Aktiviti gotong-royong membuat dan mengedar bubur lambuk merupakan tradisi sejak 18 tahun lalu dan diteruskan sehingga kini,” ujarnya. – MalaysiaGazette