Baharin Din dan Jeffery Cheah, Pengerusi Kumpulan Sunway menandatangani MoU untuk memacu bersama agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kumpulan Sunway (Sunway) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) baru-baru ini untuk memacu bersama agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan mewujudkan nilai perniagaan yang mampan dan meneroka peluang kerjasama dalam mempromosikan penyelesaian peralihan tenaga, mempercepatkan bisnes tenaga bersih serta membangunkan keupayaan ESG.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, TNB komited untuk memacu Peralihan Tenaga negara melalui aspirasi pelepasan Sifar Bersih dan menyokong Malaysia mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2050.

Dalam usaha untuk mempercepatkan pelan peralihan tenaga yang bertanggungjawab ini, TNB meneruskan pelaburan besar grid masa depan; mempercepatkan penyahkarbonan portfolio penjanaan, TNB Genco; memperluaskan pasaran tumpuan untuk mengembangkan portfolio Tenaga Boleh Baharu (TBB); dan memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem kenderaan elektrik.

Di bawah MoU itu, kedua-dua TNB dan Sunway akan bekerjasama untuk membangunkan inisiatif bersama dan meneroka peluang baharu dalam skop penyelesaian peralihan tenaga, perniagaan tenaga bersih dan keupayaan ESG.

Di bawah tiga skop ini, bidang potensi kerjasama meliputi antara lain, pembangunan pusat data, penggunaan solar fotovoltaik, penyejukan daerah dan infrastruktur kenderaan elektrik dalam hartanah Sunway, pengeluaran TBB, penyelesaian digital berkaitan tenaga, pengupayaan tenaga kerja serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) akademik.

Kerjasama yang berjaya dalam mana-mana skop akan membolehkan kedua-dua syarikat mewujudkan nilai perniagaan yang mampan, sambil pada masa sama membantu memenuhi komitmen ESG masing-masing.

Demi mencapai aspirasi neutral karbon menjelang 2050, Malaysia perlu melalui peralihan tenaga yang bertanggungjawab, iaitu perubahan ke arah sumber tenaga rendah dan sifar
karbon.

Pada masa sama, peralihan tenaga juga perlu berlaku dalam sektor lain termasuk pengangkutan dan perbandaran, melalui usaha seluruh masyarakat. – MalaysiaGazette