KUALA TERENGGANU – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam di sini, berpeluang menikmati ruang khas Perpustakaan Digital (E-Library) untuk mendapatkan akses maklumat dan bahan secara digital.
Prihatin dalam meningkatkan taraf pendidikan tanpa sempadan, Yayasan Bank Rakyat (YBR) bersetuju menyediakan Serambi Ilmu Rakyat (SIR) Corner di UniSZA dan SMK Seri Nilam yang bertujuan menggalakkan pembacaan dalam platfom digital serta membudayakan amalan membaca di kalangan rakyat terutama belia di negeri pantai timur.
Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, inisiatif itu adalah yang tahun ini dilaksanakan di sekolah.
Katanya, SMK Seri Nilam adalah sekolah pertama yang mempunyai perpustakaan digital di Malaysia, yang mana sebelum ini YBR lebih memfokuskan kepada Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
“SIR Corner merupakan projek baharu tahun 2022 yang bertujuan menyediakan satu ruang dilengkapi dengan set komputer, meja dan 50 keahlian E-Library bagi memudahkan perkongsian maklumat melalui koleksi bahan bacaan digital SIR yang bersesuai dengan komuniti setempat.
“Kita berharap pelajar dapat menggunakan peluang ini sebagai salah satu platform mencari bahan digital dan informasi terkini dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan,” katanya ketika merasmikan E-Library UniSZA dan SMK Seri Nilam, hari ini.
Upacara gimik penyerahan ‘SIR Corner’ telah diserahkan kepada Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Fadzli Adam.
Turut hadir, Ketua Pustakawan, Norulhuda Makhtar; Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin; dan Pengurus Serambi Ilmu Rakyat, Zatul Hasanah Mohd Radzhuan.
Sementara itu, dalam majlis perasmian SIR Corner di SMK Seri Nilam, turut disertai guru dan pelajar sekolah itu yang diadakan di Pusat Sumber Al-Mumtazin, Kubang Tangga, di sini.
‘SIR Corner’ untuk SMK Seri Nilam diserahkan kepada Pengetuanya, Marzuki Musa.
Menurut Syaiful Rizal, selain misi membantu mereka yang kurang berkemampuan terutama masyarakat luar bandar, pedalaman dan miskin bandar, SIR Corner itu turut memberi peluang kepada pelajar untuk menjadikan perpustakaan sebagai sebuah hab pendidikan tanpa sempadan, selain ruang mendapatkan bahan bacaan secara fizikal.
Justeru, katanya, YBR telah memperuntukkan kira-kira RM350,000 setiap tahun untuk langganan dan pangkalan data bahan digital SIR dari pihak pembekal.
“Usaha ini bertujuan menggalakkan tabiat membaca kepada pelajar dan masyarakat tanpa sempadan masa dan lokasi,” katanya. – MalaysiaGazette